Rabu, 30 Mei 2018

Ulang Tahun Pemergian P. Ramlee

Hari ini 29 Mei adalah hari ulang tahun lagenda seniman Agung P. Ramlee meninggalkan kita pada tahun 1973. Telah ramai yang bercerita dan telah banyak cerita- cerita kehebatan dan liku liku hidup insan teristimewa ini. Inilah satu nama dan satu idola yang boleh dikatakan menjadi panduan, ikutan dan impian setiap orang yang terlibat dengan seni terutama seni lakon dan nyanyian.
Saya antara orang yang tidak berkesempatan hidup sezaman dengan Allyahyarham, tetapi saya beruntung kerana masih diberi peluang untuk bersama rakan rakan Allahyarham yang masih hidup, banyak kisah kisah dan sentuhan yang ditinggalkan oleh Allahyarham menjadi pegangan rakan- rakannya.

 Di mana kan ku cari ganti : Saloma & Nasir P. Ramlee

Hari ini saya tidak lagi bersama rakan rakan Allahyarham dan saya juga tidak tahu masih adakah lagi rakan rakan itu atau semuanya sudah kembali ke rahmatullah mengikuti jejak Allahyarham P. Ramlee ke alam barzakh.
Hanya satu sahaja kenangan yang barangkali boleh saya simpan sebagai satu diari hidup masa remaja dulu. Saya sangat rapat dengan keluarga bekas Isteri Nasir P. Ramlee iaitu dramatis Rashidah Jaafar yang juga membesarkan 5 orang anaknya Natasha (syasha) dan Nadia (Najua) adalah anak dengan Nasir P. Ramlee manakala Alid, Alis dan Alida pula anak perkahwinan keduanya dengan komposer A. Ali.

Natasya, Najua dan mama mereka, Gee

Rashidah Jaafar atau Gee adalah seorang ibu yang gigih dan tegas dalam menjaga anak- anaknya biarpun tanpa suami, dia saya anggap sebagai kakak saya dan di rumah dialah saya menghabiskan hari hari cuti, kerana keakraban itu saya diberi kepercayaan untuk menjaga anak- anaknya sekiranya dia sibuk atau hendak ke mana mana. Waktu itu Shasya dan Nadia masih bersekolah rendah manakala 3 adik adiknya yang lain belum pun bersekolah dan yang paling bongsu iaitu Alida selalu saya dukung bila kami ke mana- mana. Masa kecil, Nadia dan Shasha sangat comel, mereka berdua sering saya bawa berjalan- jalan sekitar KL dan bawa naik bas ke sesuatu tempat, waktu itu tiada siapa mengenali dua anak perempuan comel ini. Bila anak- anaknya meningkat remaja saya sering mendengar ibunya merungut tentang badan anaknya yang juga semakin berisi... 
Itu kenangan lama yang tak mungkin akan berulang lagi, saya juga sudah lama tidak menjejaki keluarga mereka dan kini saya hanyalah sekali- sekala menanya kabar melalui FB milik Najua. 
Hari ini bila mengingati P. Ramlee saya juga tidak dapat tidak akan teringatkan 2 cucu cucunya yang pernah mesra dalam jagaan saya . Saya juga berharap keikhlasan saya dalam hubungan dengan darah dagingnya sedikit sebanyak dapat memberikan senyum kepada Allahyarham Tan Sri P. Ramlee di sana. Al- Fatihah.

Sabtu, 17 Mac 2018

1 Anunnaki

Satu filem oleh John Gress yang sangat dibimbangi oleh seluruh agama dan kerajaan di dunia. Sama ada ia menceritakan kebenaran atau ia sekadar penyelewengan sejarah manusia dan tuhan yang jika diluluskan tayangan akan menyebabkan seluruh dunia berada dalam persoalan baru yang berkemungkinan memberi kelebihan terutamanya golongan aties yang tidak mempercayai kewujudan tuhan juga menyebabkan teori Charles Darwin berkaitan manusia berasal daripada monyet pun turut tertolak.

1 Anunnaki hanya boleh dilihat melalui poster dan sedikit video promosi sahaja. Umum tidak akan dapat melihat filem ini kerana ia diharamkan di seluruh dunia, biarpun ia berkali- kali ditapis oleh penerbitnya filem ini tetap ditolak untuk tayangan umum malahan filem asal tidak ada dalam Internet pun, dalam youtube tidak dijumpai. Hanya pengarah dan penerbit yang tahu dimana filem ini berada dan disimpan.



Untuk memahami filem ini disarankan agar membaca buku tulisan Zecharia Sithin sahaja iaitu 'The 12th planet' berkenaan planet Nibiru dan beberapa buku lain berkenaan asal usul manusia. Filem 1 Anunnaki telah diterjemahkan oleh John Gress secara terperinci di skrin, ia sebuah filem yang panjang dan terbahagi kepada 3 bahagian, dipercayai selagi manusia menerima kewujudan tuhan selagi itulah filem ini tidak akan ditayangkan dan kemungkinan akan dimusnahkan.

Saya mencadangkan sekiranya ingin memahami dan menilai kebenaran apa yang terdapat dalam 1 Anunnaki bacalah kisah Nabi Ibrahim as, kisah Raja Namrud dan rujuklah Al Quran yang telah banyak terbukti kebenarannya dalam apa juga persoalan manusia.

Sabtu, 18 November 2017

Baru faham.... Star Trek & Star Wars

Beberapa hari lalu mempunyai ruang untuk menonton siri- siri filem Star Trek, dan Star Wars, sebetulnya saya bukanlah penggemar filem filem sains fiksyen, walaupun pernah membiasakan diri dengan tayangan filem filem hebat saya tidak tertarik langsung untuk ambil tahu tentang dua filem kegemaran anak- anak pintar ini. Saya tidak mampu untuk meneroka ke masa hadapan atau masa lalu dengan baik, saya lebih gemar menghayati filem filem masakini atau yang menjadi sejarah bukannya dimasa hadapan yang jauh untuk dijangkau kebenaran atau yang terlalu lampau diluar kewujudan peradaban manusia. 


Pada tontonan yang saya sering tertidur itu dapatlah saya cuba mencabar kefahaman dan fantasi namun apa yang sering terlintas adalah watak watak Luke Skywalker, D-2, Empayar Galactica, Death Vader, USS Enterprise dan Spock. Inilah apa yang seingat saya yang saya tonton dalam siri- siri televisyen waktu kecil dahulu. Setelah saya menonton rupanya memori saya bercampur aduk antara watak watak dan jalan cerita, munasabahlah saya tak faham dan keliru rupanya ia adalah watak dan benda yang berbeza dari dua filem iaitu Star Trek dan Stars Wars

Setelah dibuat pengecaman saya dapat membuat kesimpulan yang Star Trek adalah yang terawal dihasilkan iaitu 1966 dan Star wars pula lahir tahun 1977. Lebih jelas Star Trek adalah pengembaraan manusia dari bumi ke angkasa dan planet Bumi adalah pengkalan utama manakala Stars Wars pula tidak ada planet bernama Bumi ianya adalah peperangan bangsa bangsa di angkasa lepas.


Untuk Stars Trek walaupun heronya adalah Kapten kapal namun saya tertarik dengan Spock iaitu manusia aneh bertelinga runcing yang watak dan karekternya saya andaikan dialah Hero, manakala dalam Stars Wars pula saya menggemari watak jahat Death Vader, biarpun ia watak antagonis tetapi penampilannya setiasa dinanti, penuh debaran dan menyeramkan, kemunculannya hanya seketika namun dia menggerakkan sebahagian besar jalan cerita Stars Wars


Sabtu, 28 Oktober 2017

My Way

Pertama kali mendengarkan lagu ini dinyanyikan oleh pemandu rombongan kami sewaktu di Danau Toba, Medan. Entah mengapa lagu yang baik walaupun kita tak biasa mendengarnya tetapi ia cepat membuat terpikat dan ingin turut mengalunkannya. My Way adalah lagu yang asalnya adalah dalam bahasa Perancis berjudul “Comme d’habitude” . Tetapi ia diolah semula oleh komposer yang juga seorang penyanyi Amerika bernama Paul Anka, walaupun Paul juga seorang penyanyi tetapi dia merasakan lagu itu lebih sesuai di berikan kepada Frank Sinatra, selepas itu My Way menjadi sangat terkenal dan dinyanyikan oleh hampir semua artis terkenal pada waktu itu hingga kini. Kini saya menyedari sesiapa sahaja yang meminati lagu evergreen sudah tentu My Way adalah satu lagu yang wajib. Sebutlah sesiapa saja akan suka menyanyikannya termasuk lagenda raja rock Elvis Presley.


My Way... mengingatkan kenangan di danau Toba yang banyak cerita indah waktu itu yang kini menjadi kenangan dan sejarah yang tak mungkin akan berulang lagi.

Selasa, 3 Oktober 2017

Billie Jean

Seorang Lagenda dalam kategorinya.. Michael Joseph Jackson (Ogos 291958 – Jun 252009) ialah seorang penyanyi, penari, penghibur dan artis Amerika Syarikat. Digelar sebagai ‘Raja Pop’, dia dikenali sebagai penghibur yang paling berjaya dan salah seorang yang paling berpengaruh pada semua masa. Sumbangannya kepada muzik, tarian, dan gaya serta kehidupannya yang diketahui umum menjadikannya seorang terkenal dalam budaya pop di seluruh dunia selama lebih daripada 40 tahun. Sebenarnya nama ini tak perlu diperkenalkan lagi... cukuplah lagu ini yang saya rasa tak ada orang yang tak menggoyangkan kaki atau tak melagukan senikatanya apabila diperdengarkan. Lagu yang mula mula membentuk dan merapatkan kumpulan sepermainan kami yang apabila diceritakan akan terimbaulah kenangan... Jommm



Billie Jean... hidup dalam semangatku.. 

Isnin, 3 Julai 2017

Kuasatek dan "Cinta Korporat"

Berbual dengan seorang rakan yang dulunya pernah bekerja bersama dalam penerbitan drama tv, dalam perbualan itu satu topik yang sangat berkesan dalam ingatan dilontarkan. Kami berbicara tentang sebuah syarikat kejuruteraan bumiputera yang terlibat dalam penerbitan drama yang sangat berkualiti dan mewah. KUASATEK (M) SDN BHD yang menubuhkan Kuasatek Picture Sdn Bhd untuk memeriahkan industri penerbitan drama waktu itu. 
Masih saya ingat bila mana Pemilik yang juga Pengarah Urusan Kuasatek, En Mohd Noor Kadir giat menerbitkan siri siri drama yang mengesankan dan tidak keterlaluan jika saya mengatakan beliau membawa trend baru kepada drama Tv di Malaysia dengan cerita cerita ada isi yang mengesankan kepada penonton. Saya bertanya kepada beliau kenapa tidak menerbitkan Filem cereka. Beliau dengan pantas menjawab tidak mahu terjerat dengan risiko kerana suasana waktu itu tidak memihak kepada Filem antaranya disebabkan penutupan banyak pawagam pawagam disamping berbagai kerenah pihak berkenaan, beliau juga senang dengan perkembangan stesen penyiaran terutamanya TV3 yang menyokong setiap penerbitan oleh Kuasatek Picture.

Antara drama terbaik yang saya mengikuti dari awal penggambaran hinggalah penyuntingan akhir adalah drama bersiri "Cinta Korporat" drama ini melibatkan tenaga krew dan studio Take One Productions dulunya dikenali sebagai Studio Perdana, drama yang menampilkan Ahmad Idham, Azah Aziz, Rusdi Ramli dan Azhar Sulaiman, lain lain drama seperti Cinta Antara Benua dan Cinderella juga antara buah tangan Mohd Noor Kadir. Drama drama ini melibatkan penggambaran luar negara seperti London, India dan New Zealand, lokasi penggambaran inilah yang menjadikan kelainan dan keberanian oleh Kuasatek Picture yang sebelumnya tidak berlaku dalam penerbitan drama tempatan.

Sepanjang penyuntingan drama itu juga, Pengarah Tony Francis membuat video klip dengan gaya tersendiri yang mungkin lebih hebat daripada sesetengan video klip nyanyian yang ada di negara kita antaranya adalah video klip "Kembalilah" dan "Kasih Kita" sebagai lagu tema yang di jayakan oleh Amy Mastura. 

Drama bersiri cinta Korporat episod 1- 16 kini sudah boleh ditonton di youtube

Diakhir perbualan kami meluahkan keinginan untuk melihat lagi kehebatan penerbit drama dan filem tempatan yang baik dengan idea yang asli. 

Selasa, 21 Mac 2017

Dendam Dalam Diam - Hayati

Lagu Nora "Dendam Dalam Diam" suatu masa dulu pernah menjadi lagu latar dan lagu tema sebuah drama bersiri RTM yang cukup digemari dan sungguh terkesan, seingat saya ia ditayangkan pada setiap petang di bulan puasa tahun 1997. Drama yang dibintangi oleh Zaidi Omar, Liza Othman dan Nadia Fadilah ini memenangi drama bersiri terbaik pada anugerah Sri Angkasa tahun tersebut. 
Dalam pembikinan drama bersiri ini kadangkala saya yang berada di bilik dubbing bersama Doraemon dan Tomato Man meluangkan masa turun sebagai krew di lokasi penggambaran Banting, Selangor. Drama yang pada mulanya 13 siri diminta oleh stesen untuk ditayang sepanjang bulan puasa menjadikannya 30 siri menyebabkan tenaga kerja teknikal berganti team lain dan pengarahan yang pada mulanya diarah oleh Saian Salimon terpaksa diserahkan kepada penolong pengarahnya bernama Liza Ismail untuk meneruskan episod 14-30, setahu saya bermula dari sinilah Liza bergelar pengarah drama. dan kerja- kerja di studio pula saya diminta untuk menyunting Off-Line bersama Allahyarham Wan Norhadi Wan Noh sebagai Penyunting On- Line. Wan Norhadi yang juga pernah mencipta lagu menjadikan sentuhannya mengesankan, dia sering meminta saya menemaninya dan memberi pendapat ketika memasukkan latar muzik dan lagu drama berkenaan terutama jika slot jam 2 pagi hingga 10pagi.
Hayati adalah kisah ketabahan seorang Isteri bernama Hayati (Liza Othman) yang bermadu dan kemudian diceraikan talak 3 oleh suaminya (Zaidi Omar). Zaidi Omar yang pada mulanya hidup gembira dan berharta tetapi akhirnya menyedari kesilapan dan menyesal kerana isteri mudanya (Nadia Fadilah) tidaklah seperti yang diharapkan sebaliknya berperangai tidak baik hingga menyebabkannya jatuh miskin, Hayati melakukan pelbagai kerja untuk menyara hidup seperti menjadi pembantu kedai, berniaga kecilan disulami pelbagai tohmahan dan godaan hidup sebagai janda. Zaidi Omar yang menyedari kesalahannya berikhtiar pelbagai cara untuk rujuk balik dengan bekas isterinya termasuk mencari orang untuk jadi cina buta tetapi semuanya tidak berjaya memujuk Hayati hingga akhirnya Zaidi Omar menjadi sasau dan gila.
Sedikit tentang Nadia Fadilah yang dalam drama tersebut menjadi penyebab dalam menggerakkan plot drama Hayati, mungkin boleh saya katakan pelakon berasal Sarawak ini adalah antara pelakon baru waktu itu yang menyenangi saya dan beliau pernah mengatakan suatu hari saya akan terkenal dan menjadi nama yang besar dalam industri drama dan filem. Tetapi ramalannya tidak berlaku, saya mengundur diri lebih awal dari dunia yang dikatakan glamer, manakala Nadia sehingga kini juga sudah tiada dalam skrin televisyen, yang masih bertahan dengan baik adalah Zaidi Omar.

Pelakon ini sudah lama hilang dari skrin televisyen, mungkin ada yang masih ingat wajah Nadia berikat kepala dan saya bertopi. Gambar semasa di Bandar Sri Begawan 1995..

Mungkin melalui lagu nyanyian ini ada yang boleh mengimbau kembali cerita ketabahan Hayati, penyesalan suaminya dan suasana masyarakat dalam cerita sebagaimana digambarkan dalam lagu ini..