Rabu, 20 Mei 2026

Good Will Hunting


Hari ini saya menonton filem Good Will Haunting yang dikeluarkan pada tahun 1997. Pelakonnya ialah Matt Damon sebagai Will Hunting iaitu pemuda genius yang bergelut dengan trauma dan arah hidup, Robin Williams sebagai Sean Maguire seorang kaunselor yang membantu Will memahami dirinya, Ben Affleck sebagai Chuckie iaitu sahabat baik Will yang sentiasa menyokongnya, Minnie Driver sebagai Skylar berperanan sebagai wanita yang cuba membuka hati Will dan Stellan SkarsgĂ„rd sebagai Profesor Gerald Lambeau.

Filem yang baik ini mencapai kejayaan menang 2 Anugerah Oscar di Academy Awards iaitu lakon Layar Asal Terbaik (Matt Damon & Ben Affleck) dan kategori pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Robin Williams). Filem ini juga melonjakkan nama Matt Damon dan Ben Affleck menjadi bintang besar di Hollywood.

Good Will Hunting ialah filem tentang seorang pemuda genius bernama Will Hunting yang bekerja sebagai pencuci di universiti, tetapi sebenarnya mempunyai bakat luar biasa dalam matematik. Walaupun sangat bijak, Will hidup dengan penuh kemarahan, trauma masa silam, dan sukar mempercayai orang lain. Dia sering bergaduh dan mensia-siakan bakatnya kerana takut menghadapi kehidupan sebenar. Seorang profesor cuba membantu Will, tetapi akhirnya dia dihantar bertemu seorang kaunselor bernama Sean Maguire yang dilakon oleh Robin Williams. Hubungan antara mereka perlahan-lahan membuka hati Will untuk memahami dirinya sendiri.

Selepas menonton filem ini saya tefikir hidup ini bukan hanya tentang diri sendiri. Tentang bagaimana mahu berjaya, bergerak ke depan, dan menyelesaikan masalah sendiri tanpa bergantung pada sesiapa. Tapi semakin saya merenungi kehidupan, semakin saya sedar…setiap manusia yang hadir sebenarnya meninggalkan sesuatu dalam diri kita.

Ada orang datang memberi semangat. Ada yang datang mengajar erti kecewa. Ada yang hanya singgah sebentar, tetapi kesannya tinggal bertahun-tahun. Saya mula faham bahawa hidup manusia bukan perjalanan seorang diri. Seperti dalam Good Will Hunting, seseorang boleh jadi sangat bijak, sangat kuat, tetapi tetap perlukan manusia lain untuk melihat sisi dirinya yang dia sendiri tak nampak. Kadang-kadang orang yang menegur kita itulah yang menyelamatkan kita. Kadang-kadang orang yang menyakitkan kita itulah yang mematangkan kita. Dan kadang-kadang orang yang percaya pada kita… menjadi sebab kita terus berjalan.

Mungkin benar, semua orang ada peranan dalam hidup kita. Bukan semua hadir untuk kekal, tetapi semua hadir untuk meninggalkan pelajaran.Dan saya melihat manusia bukan sekadar “orang lain”…tetapi sebahagian daripada perjalanan yang membentuk siapa diri saya sebenarnya.

Khamis, 30 April 2026

Tok Imam Haji Sair


Di setiap tempat sama ada peringkat kampung, mukim, daerah, jajahan, negeri serta negara kita didedahkan dengan tokoh tokoh tertentu yang membuat jasa dan meninggalkan sesuatu yang bermanfaat kepada orang lain. Di mukim Pengkalan Cengal dalam jajahan Bachok juga ada seorang tokoh yang barangkali sudah tidak lagi dikenali oleh generasi baru ia adalah :- Allahyarham Tok Imam Haji Sair @ Mohamed (1934–1995)

Allahyarham dilahirkan pada tahun 1934 di Kampung Pengkalan Pak Kassim. Sejak kecil lagi kehidupannya telah melalui pengalaman yang luar biasa dan penuh ujian. Ketika Tanah Melayu dalam peralihan daripada penjajahan Jepun kembali kepada pemerintahan British, keselamatan kampung-kampung sering tergugat. Dalam suasana genting itulah satu tragedi hitam menimpa, rumah keluarga Haji Awang Hamat telah diserang oleh sekumpulan perompak. Walaupun Haji Awang Hamat memiliki senapang untuk mempertahankan diri, pergelutan yang berlaku akhirnya meragut nyawanya. Peristiwa tragis ini meninggalkan kesan mendalam sehingga keluarganya membuat keputusan berpindah ke sebuah penempatan baru di Pengkalan Chengal yang kemudiannya dikenali sebagai Kampung Pengkalan Baru.

Walaupun kehidupan dihimpit ujian, semangat menuntut ilmu tidak pernah padam dalam diri Haji Sair. Pada ketika itu, peluang pendidikan amat terhad. Namun beliau menjadi salah seorang daripada hanya tiga orang anak kampung yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Sekolah Jamek, yang kini dikenali sebagai Ma'ahad Muhammadi. Selepas itu, beliau meneruskan pengajian agama di Pondok Bunut Payong dan Pondok Tok Kenali, kedua institusi pondok ini adalah pusat pengajian yang terkenal melahirkan ramai tokoh agama di Kelantan.

Ketika berusia 18 tahun datuk dan neneknya membawa beliau bersama menunaikan ibadah haji ke Tanah Suci. Namun takdir Ilahi menentukan perjalanan pulangnya penuh kesedihan. Datuknya meninggal dunia di Mekah, manakala neneknya pula kembali ke rahmatullah di Madinah. Haji Sail akhirnya pulang ke tanah air seorang diri, membawa bersama kenangan yang menjadi titik awal pembentukan jiwa yang tabah dalam dirinya.

Keilmuan dan kewibawaan beliau mula terserlah apabila sering diundang untuk menjadi imam solat di beberapa tempat. Antaranya beliau kerap berulang-alik ke Kampung Jelawat bagi memimpin solat, khususnya solat tarawih pada bulan Ramadan. Di sinilah juga bermula perjalanan hidup berkeluarga beliau apabila dijodohkan oleh bapa saudaranya dengan Azizah binti Awang Teh. Ketika itu Haji Sair berusia 22 tahun manakala isterinya berumur 11 tahun. Pasangan yang mengharungi hidup dengan harmoni dan sabar ini kemudiannya dikurniakan cahaya mata pertama pada 1957 di beri nama Sabariah. Sepanjang perkongsian hidup mereka dikurniakan 9 orang anak terdiri daripada 5 lelaki dan 4 perempuan.

Mewarisi tradisi keluarganya, Haji Sair menjadi generasi ketiga yang berkhidmat sebagai imam di Mukim Pengkalan Cengal menggantikan bapa mertuanya. Ketika itu, masjid kampung terletak berhampiran rumahnya tetapi berada agak jauh dari laluan utama penduduk. Menyedari kesukaran masyarakat untuk beribadah di situ, beliau bersama beberapa orang rakan berusaha dengan penuh kesungguhan untuk memindahkan lokasi masjid ke tempat yang lebih sesuai. Dengan kerjasama penduduk dan bantuan pihak Majlis Agama, sebuah masjid baru akhirnya berjaya dibina di tanah wakaf milik Haji Hasan di kawasan yang dikenali sebagai kampung Dusun Itik. Masjid tersebut kemudiannya menjadi pusat ibadah, perpaduan dan kegiatan masyarakat kampung.

Sumbangan beliau tidak terhenti di situ. Haji Sair juga memainkan peranan penting dalam usaha memindahkan sekolah rakyat kampung ke lokasi baru yang lebih luas di tanah milik keluarganya yang diwakafkan di Kampung Pengkalan Pak Kassim. Mengenangkan jasanya, beliau dilantik sebagai pengerusi pertama sekolah tersebut. Sekolah rakyat itu kemudiannya berkembang dan akhirnya dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Pengkalan Cengal, sebuah institusi pendidikan yang terus memberi manfaat kepada anak- anak dan masyarakat kampung sekitarnya.

Selain itu, beliau juga berusaha memperbaiki kemudahan asas kampung. Laluan kecil yang dahulu hanya berupa denai menuju ke rumahnya telah diusahakan sehingga menjadi jalan yang boleh dilalui kenderaan. Jalan tersebut kini dikenali sebagai Lorong Imam Haji Sair, sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangannya kepada masyarakat setempat.

Pada tahun 1993, Haji Sair menamatkan perkhidmatannya sebagai Imam Masjid Mukim Pengkalan Cengal. Namun persaraan itu tidak pernah menghentikan bakti beliau kepada agama dan masyarakat. Beliau terus aktif menyampaikan dakwah, terlibat dalam gerakan mubaligh / halaqah, membimbing masyarakat dalam hal-hal agama serta mengambil bahagian dalam kegiatan siasah setempat.

Setelah melalui kehidupan yang penuh jasa dan pengorbanan, Allahyarham Tok Imam Haji Sair @ Mohamed kembali ke rahmatullah pada 5 Januari 1995. Pemergiannya meninggalkan kenangan mendalam kepada keluarga dan masyarakat kampung. Namun jasa, ilmu dan pengorbanannya terus hidup dalam ingatan generasi yang mengenali beliau serta dalam institusi-institusi yang pernah beliau bangunkan demi kemajuan agama dan masyarakat.


Tok Imam Hj Sair bersama rakan seperjuangan iaitu Tok ime Ya @ Zakaria Tepus / Pauh Lima (Tengah) dan Tok Ime Mat Zain Kg Chap (Tepi- baju Melayu putih)  Gbr masa kursus Imam Anjuran MAIK di Lundang, Kelantan


Ahad, 8 Februari 2026

Notting Hills


Sekali lagi saya termenonton Notting Hills yang ditayangkan di rtmTv2. bagi saya ini antara filem yang buatkan ramai orang tertegun depan skrin dan turut terbawa dalam kisah cinta hebat mereka. Sebagaimana ulasan AI tentang filem ini yang berbunyi "Cinta hebat Julia Roberts (Anna Scott) dan Hugh Grant (William Thacker) dalam filem Notting Hills (1999) memukau penonton dengan kisah cinderalla terbaik. Filem ini sudah saya ulas pada tahun 2017 dan saya cadangkan agar anda membaca DI SINI kerana ulasanya adalah perkara hampir sama semoga selepas membaca catatan saya anda akan mencari filemnya dan percayalah anda akan terbawa ke dalam indahnya cinta mereka dan membandingkan dengan cinta anda.