Rabu, 22 Jun 2011

Nang Nak, untuk pemabuk cinta.

Sebuah filem cinta sejati seram dari Thailand, filem yang dibuat dalam tahun 1992 ini benar benar menyentuh perasaan biarpun ianya sebuah filem menyeramkan. Permulaan cerita yang menggambarkan suasana selepas perang antara Ayuthia dan Burma telah membawa penonton mengikut watak Mak ke kampungnya hingga menemui isterinya Nak bersama anak kecil mereka, selepas itu suami isteri yang saling cinta dan sayang ini menjalani kehidupan harian seperti biasa.
Perkembangan plot dan konflik bermula bila Mak diberitahu oleh rakannya bahawa isteri dan anaknya sebenarnya telah meninggal dunia, ini menyebaban Mak jadi marah dan menyisih diri daripada orang kampung. Nak pula yang marah dengan orang kampung yang selalu menganggu kehidupan mereka telah membunuh seorang demi seorang sesiapa sahaja yang berusaha memisahkan mereka. Hinggalah seorang sami telah menyedarkan Mak bahawa isterinya dan anaknya yang sebenar sudah mati dan orang yang menyerupai isteri dan anaknya itu adalah hantu.
Penonton cerita ini mungkin tidak dapat melupakan babak tangan Nak menjulur ke bawah lantai dapur untuk mengambil alat memasak yang terjatuh dan ketika itu Mak ternampak kerana kebetulan dia sedang membaiki anak tangga yang patah atau penonton akan rasa simpati bila Mak yang sedang menyisir rambutnya dan sisirnya telah patah iaitu perlambangan bahawa penglihatan Mak sebenarnya telah dipesongkan sedangkan kehidupan Mak sebenarnya dikelilingi oleh rumah dan persekitaran yang semakin mereput.
Babak Nak yang terbang hingga ke kuil dan kesanggupan Nak untuk merelakan dirinya berpisah dengan Mak secara rela adalah babak akhir yang amat tragis yang mana hantu Nak sanggup membebaskan diri secara ditebuk tulang dahi tengkorak Nak yang kuburnya telah digali semula.
Kisah sebegini sebenarnya sukar untuk ditolak oleh masyarakat terutama orang - orang lama di pedalaman, mereka juga ada mengalami atau mendengar kisah yang hampir sama. Kisah berpuca dari rasa cinta keterlaluan yang menyebabkan kematian salah seorang dari mereka meyebabkan semangat dan makhluk lain mengambil alih atas ketaksuban dua jiwa. Dari itu berhati- hatilah bila berkasih sesama makhluk.. jangan sesekali berazam untuk sehidup semati.. cinta yang kekal dan abadi hanyalah cinta kepada tuhan.

Rabu, 15 Jun 2011

KONGSI ; PDRM kena rasa malu, insaf dan jangan berlagak..

Sebenarnya kita belum melihat secara keseluruhan filem 'Kongsi.. lu langsi, lu mati'. Tetapi melalui pembacaan sinopsis dan iklanya ingin kita respon sisi luar kotak filem tersebut. Filem yang mengangkat watak Temulak yang kekampungan berdialek Kelantan tetapi lincah dan agresif telah membuka mata sisi kelemahan PDRM yang kebiasaanya tidak boleh disamakan dengan polis lawak dalam filem Hindi atau Tamil. Temulak yang sangat nekad dan licik sebenarnya tidak dapat ditangkap secara berdepan atau cara anak jantan tetapi tertangkap bila tersekat di lumpur.
PDRM tidak perlulah berbangga dan rasa terus berwibawa hanya dengan kajian bahawa PDRM melalui cawangan gerak khasnya berada ditangga kedua dalam senarai kecekapan di belakang Scotland Yard yang berjaya melindungi Salman Rushdie setelah menerima ancaman bunuh oleh dunia Islam melalui bukunya Satanic Verses. PDRM juga sering berjaya menyelesaikan kes- kes berprofil tinggi yang mendapat pujian antarabangsa.
Di dalam kebangaan seluruh rakyat atas kewibawaan agensi yang bertanggungjawab kepada penguatkuasaan perundangan negara PDRM seharusnya sedar dan bangun dari leka dengan menoleh kembali peranannya yang Mesra, Cepat dan Betul. PDRM mesti mengambil kira dengan kes- kes yang setiap hari dihadapi oleh rakyat yang jika diabaikan boleh mencemar dan menghakis kepercayaan rakyat kepada pihak PDRM.
PDRM mesti sedar walau secekap mana sekalipun mereka berjaya menangkap penjenayah besar, sekerap mana pun mereka berjaya membantu dalam menyelesaikan kes antara benua tetapi sekiranya setiap hari rakyat terpaksa berjaga malam bimbang rumah dimasuki pencuri, kehilangan kenderaan yang tidak berkurangan, dan kejadian samun di lokasi yang sama berulang- ulang kali, sudah cukup membuatkan mangsa menjadi berputus asa dengan tindakan pihak polis yang seperti acuh tak acuh dengan laporan yang sama dan menebal dalam buku lognya.
Kini heboh dengan laporan demi laporan yang hingga hari ini diberitakan sebanyak 300 laporan dibuat yang meminta pihak berkenaan agar menghalang perhimpunan Bersih yang dijadualkan pula pada 9 Julai 2011. Mengikut kepada pengalaman laporan polis, kita tidak ragu- ragu mengakui bahawa sebelum ini beratus- ratus laporan telah dibuat atas keceluparan Namawi, kurang ajarnya Karpal Singh menghina Melayu dan Islam, kecelaruan kalimah Allah dan berbagai lagi yang terang terangan boleh diambil tindakan oleh PDRM dalam pelbagai sudut yang termaktub dalam perundangan negara. Kini kita melihat laporan kepada pihak polis hanyalah sekadar mewar-warkan kepada media bahawa masih ada yang tidak bersetuju dengan tindakan yang tidak menghormati demokrasi yang dibentang kepada rakyat.
Kongsi barangkali boleh menjadi pilihan kepada sesiapa jua yang dilihat mempertikaikan peranan PDRM, kita sentiasa menyokong dan berterima kasih kepada anggota PDRM yang benar- benar menjalankan tugas seperti di dalam drama kepolisian oleh Yusof Haslam, itu pun setelah memaksa untuk pejam mata dan menelan bulat- bulat kerana kita tidak mahu diberikan kata dua oleh PDRM yang berbunyi "Lu Langsi.. Lu Mati.."