Rabu, 10 Jun 2026

5 Filem terbaik yang dihasilkan oleh Malaysia

 


1. Pendekar Bujang Lapok

Mengisahkan tiga sahabat, Ramlee, Sudin dan Aziz, yang bercita-cita menjadi pendekar. Mereka berguru dengan seorang guru silat yang garang dan melalui pelbagai peristiwa lucu sebelum berjaya membantu menentang penjahat di kampung. Filem ini terkenal dengan komedi cerdik, sindiran sosial dan nilai persahabatan.

2. Ibu Mertuaku

Kisah tragis seorang pemuzik berbakat bernama Kassim Selamat yang berkahwin dengan Sabariah tetapi ditentang oleh ibu mertuanya yang memandang rendah kerana faktor status dan kekayaan. Filem ini dikenang kerana jalan ceritanya yang menyentuh emosi serta babak "Kassim Selamat buta" yang menjadi legenda.

3. Sepet

Mengisahkan percintaan antara Orked, seorang gadis Melayu, dan Jason, seorang pemuda Cina penjual VCD. Hubungan mereka berdepan cabaran perbezaan budaya dan pandangan masyarakat. Filem ini dipuji kerana menyentuh isu perpaduan, identiti dan realiti masyarakat Malaysia secara jujur.

4. Ola Bola

Diinspirasikan daripada kejayaan pasukan bola sepak Malaysia layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980. Filem ini memaparkan semangat perjuangan, perpaduan pelbagai kaum dan pengorbanan pemain demi negara. Ia menjadi antara filem patriotik paling berjaya dalam sejarah Malaysia.

5. Munafik

Berkisarkan Ustaz Adam yang mengalami trauma selepas kematian isterinya dan kemudian berhadapan dengan gangguan sihir serta makhluk halus ketika membantu seorang wanita yang dirasuk. Selain unsur seram, filem ini menekankan soal akidah, keimanan dan perjuangan melawan kejahatan.

Kesimpulan Ringkas

  • Komedi terbaik: Pendekar Bujang Lapok
  • Drama terbaik: Ibu Mertuaku
  • Filem perpaduan terbaik: Sepet
  • Filem patriotik terbaik: Ola Bola
  • Filem seram terbaik: Munafik

Kelima-lima filem ini mewakili era dan genre berbeza, tetapi semuanya dianggap antara karya paling penting dalam sejarah perfileman Malaysia.

Rabu, 20 Mei 2026

Good Will Hunting


Hari ini saya menonton filem Good Will Haunting yang dikeluarkan pada tahun 1997. Pelakonnya ialah Matt Damon sebagai Will Hunting iaitu pemuda genius yang bergelut dengan trauma dan arah hidup, Robin Williams sebagai Sean Maguire seorang kaunselor yang membantu Will memahami dirinya, Ben Affleck sebagai Chuckie iaitu sahabat baik Will yang sentiasa menyokongnya, Minnie Driver sebagai Skylar berperanan sebagai wanita yang cuba membuka hati Will dan Stellan SkarsgĂ„rd sebagai Profesor Gerald Lambeau.

Filem yang baik ini mencapai kejayaan menang 2 Anugerah Oscar di Academy Awards iaitu lakon Layar Asal Terbaik (Matt Damon & Ben Affleck) dan kategori pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Robin Williams). Filem ini juga melonjakkan nama Matt Damon dan Ben Affleck menjadi bintang besar di Hollywood.

Good Will Hunting ialah filem tentang seorang pemuda genius bernama Will Hunting yang bekerja sebagai pencuci di universiti, tetapi sebenarnya mempunyai bakat luar biasa dalam matematik. Walaupun sangat bijak, Will hidup dengan penuh kemarahan, trauma masa silam, dan sukar mempercayai orang lain. Dia sering bergaduh dan mensia-siakan bakatnya kerana takut menghadapi kehidupan sebenar. Seorang profesor cuba membantu Will, tetapi akhirnya dia dihantar bertemu seorang kaunselor bernama Sean Maguire yang dilakon oleh Robin Williams. Hubungan antara mereka perlahan-lahan membuka hati Will untuk memahami dirinya sendiri.

Selepas menonton filem ini saya tefikir hidup ini bukan hanya tentang diri sendiri. Tentang bagaimana mahu berjaya, bergerak ke depan, dan menyelesaikan masalah sendiri tanpa bergantung pada sesiapa. Tapi semakin saya merenungi kehidupan, semakin saya sedar…setiap manusia yang hadir sebenarnya meninggalkan sesuatu dalam diri kita.

Ada orang datang memberi semangat. Ada yang datang mengajar erti kecewa. Ada yang hanya singgah sebentar, tetapi kesannya tinggal bertahun-tahun. Saya mula faham bahawa hidup manusia bukan perjalanan seorang diri. Seperti dalam Good Will Hunting, seseorang boleh jadi sangat bijak, sangat kuat, tetapi tetap perlukan manusia lain untuk melihat sisi dirinya yang dia sendiri tak nampak. Kadang-kadang orang yang menegur kita itulah yang menyelamatkan kita. Kadang-kadang orang yang menyakitkan kita itulah yang mematangkan kita. Dan kadang-kadang orang yang percaya pada kita… menjadi sebab kita terus berjalan.

Mungkin benar, semua orang ada peranan dalam hidup kita. Bukan semua hadir untuk kekal, tetapi semua hadir untuk meninggalkan pelajaran.Dan saya melihat manusia bukan sekadar “orang lain”…tetapi sebahagian daripada perjalanan yang membentuk siapa diri saya sebenarnya.

Khamis, 30 April 2026

Tok Imam Haji Sair


Di setiap tempat sama ada peringkat kampung, mukim, daerah, jajahan, negeri serta negara kita didedahkan dengan tokoh tokoh tertentu yang membuat jasa dan meninggalkan sesuatu yang bermanfaat kepada orang lain. Di mukim Pengkalan Cengal dalam jajahan Bachok juga ada seorang tokoh yang barangkali sudah tidak lagi dikenali oleh generasi baru ia adalah :- Allahyarham Tok Imam Haji Sair @ Mohamed (1934–1995)

Allahyarham dilahirkan pada tahun 1934 di Kampung Pengkalan Pak Kassim. Sejak kecil lagi kehidupannya telah melalui pengalaman yang luar biasa dan penuh ujian. Ketika Tanah Melayu dalam peralihan daripada penjajahan Jepun kembali kepada pemerintahan British, keselamatan kampung-kampung sering tergugat. Dalam suasana genting itulah satu tragedi hitam menimpa, rumah keluarga Haji Awang Hamat telah diserang oleh sekumpulan perompak. Walaupun Haji Awang Hamat memiliki senapang untuk mempertahankan diri, pergelutan yang berlaku akhirnya meragut nyawanya. Peristiwa tragis ini meninggalkan kesan mendalam sehingga keluarganya membuat keputusan berpindah ke sebuah penempatan baru di Pengkalan Chengal yang kemudiannya dikenali sebagai Kampung Pengkalan Baru.

Walaupun kehidupan dihimpit ujian, semangat menuntut ilmu tidak pernah padam dalam diri Haji Sair. Pada ketika itu, peluang pendidikan amat terhad. Namun beliau menjadi salah seorang daripada hanya tiga orang anak kampung yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Sekolah Jamek, yang kini dikenali sebagai Ma'ahad Muhammadi. Selepas itu, beliau meneruskan pengajian agama di Pondok Bunut Payong dan Pondok Tok Kenali, kedua institusi pondok ini adalah pusat pengajian yang terkenal melahirkan ramai tokoh agama di Kelantan.

Ketika berusia 18 tahun datuk dan neneknya membawa beliau bersama menunaikan ibadah haji ke Tanah Suci. Namun takdir Ilahi menentukan perjalanan pulangnya penuh kesedihan. Datuknya meninggal dunia di Mekah, manakala neneknya pula kembali ke rahmatullah di Madinah. Haji Sail akhirnya pulang ke tanah air seorang diri, membawa bersama kenangan yang menjadi titik awal pembentukan jiwa yang tabah dalam dirinya.

Keilmuan dan kewibawaan beliau mula terserlah apabila sering diundang untuk menjadi imam solat di beberapa tempat. Antaranya beliau kerap berulang-alik ke Kampung Jelawat bagi memimpin solat, khususnya solat tarawih pada bulan Ramadan. Di sinilah juga bermula perjalanan hidup berkeluarga beliau apabila dijodohkan oleh bapa saudaranya dengan Azizah binti Awang Teh. Ketika itu Haji Sair berusia 22 tahun manakala isterinya berumur 11 tahun. Pasangan yang mengharungi hidup dengan harmoni dan sabar ini kemudiannya dikurniakan cahaya mata pertama pada 1957 di beri nama Sabariah. Sepanjang perkongsian hidup mereka dikurniakan 9 orang anak terdiri daripada 5 lelaki dan 4 perempuan.

Mewarisi tradisi keluarganya, Haji Sair menjadi generasi ketiga yang berkhidmat sebagai imam di Mukim Pengkalan Cengal menggantikan bapa mertuanya. Ketika itu, masjid kampung terletak berhampiran rumahnya tetapi berada agak jauh dari laluan utama penduduk. Menyedari kesukaran masyarakat untuk beribadah di situ, beliau bersama beberapa orang rakan berusaha dengan penuh kesungguhan untuk memindahkan lokasi masjid ke tempat yang lebih sesuai. Dengan kerjasama penduduk dan bantuan pihak Majlis Agama, sebuah masjid baru akhirnya berjaya dibina di tanah wakaf milik Haji Hasan di kawasan yang dikenali sebagai kampung Dusun Itik. Masjid tersebut kemudiannya menjadi pusat ibadah, perpaduan dan kegiatan masyarakat kampung.

Sumbangan beliau tidak terhenti di situ. Haji Sair juga memainkan peranan penting dalam usaha memindahkan sekolah rakyat kampung ke lokasi baru yang lebih luas di tanah milik keluarganya yang diwakafkan di Kampung Pengkalan Pak Kassim. Mengenangkan jasanya, beliau dilantik sebagai pengerusi pertama sekolah tersebut. Sekolah rakyat itu kemudiannya berkembang dan akhirnya dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Pengkalan Cengal, sebuah institusi pendidikan yang terus memberi manfaat kepada anak- anak dan masyarakat kampung sekitarnya.

Selain itu, beliau juga berusaha memperbaiki kemudahan asas kampung. Laluan kecil yang dahulu hanya berupa denai menuju ke rumahnya telah diusahakan sehingga menjadi jalan yang boleh dilalui kenderaan. Jalan tersebut kini dikenali sebagai Lorong Imam Haji Sair, sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangannya kepada masyarakat setempat.

Pada tahun 1993, Haji Sair menamatkan perkhidmatannya sebagai Imam Masjid Mukim Pengkalan Cengal. Namun persaraan itu tidak pernah menghentikan bakti beliau kepada agama dan masyarakat. Beliau terus aktif menyampaikan dakwah, terlibat dalam gerakan mubaligh / halaqah, membimbing masyarakat dalam hal-hal agama serta mengambil bahagian dalam kegiatan siasah setempat.

Setelah melalui kehidupan yang penuh jasa dan pengorbanan, Allahyarham Tok Imam Haji Sair @ Mohamed kembali ke rahmatullah pada 5 Januari 1995. Pemergiannya meninggalkan kenangan mendalam kepada keluarga dan masyarakat kampung. Namun jasa, ilmu dan pengorbanannya terus hidup dalam ingatan generasi yang mengenali beliau serta dalam institusi-institusi yang pernah beliau bangunkan demi kemajuan agama dan masyarakat.


Tok Imam Hj Sair bersama rakan seperjuangan iaitu Tok ime Ya @ Zakaria Tepus / Pauh Lima (Tengah) dan Tok Ime Mat Zain Kg Chap (Tepi- baju Melayu putih)  Gbr masa kursus Imam Anjuran MAIK di Lundang, Kelantan


Ahad, 8 Februari 2026

Notting Hills


Sekali lagi saya termenonton Notting Hills yang ditayangkan di rtmTv2. bagi saya ini antara filem yang buatkan ramai orang tertegun depan skrin dan turut terbawa dalam kisah cinta hebat mereka. Sebagaimana ulasan AI tentang filem ini yang berbunyi "Cinta hebat Julia Roberts (Anna Scott) dan Hugh Grant (William Thacker) dalam filem Notting Hills (1999) memukau penonton dengan kisah cinderalla terbaik. Filem ini sudah saya ulas pada tahun 2017 dan saya cadangkan agar anda membaca DI SINI kerana ulasanya adalah perkara hampir sama semoga selepas membaca catatan saya anda akan mencari filemnya dan percayalah anda akan terbawa ke dalam indahnya cinta mereka dan membandingkan dengan cinta anda. 

Jumaat, 28 April 2023

Raja funfair meninggal dunia..

 Mendengar khabar kembalinya Mael vokalis kumpulan musik XPDC kepada pencipta membuatkan keinsafahan kehebatan dan kemashuran akhirnya tiada apa apa bila kita hanya berkain kafan bersendirian di alam kubur.

Saya sepertimana ramai rakyat Malaysia meminati keunikan dan mantapnya suara Mael terutama dalam album yang dirakam di Amerika Syarikat satu masa dulu. Seakan suaranya mudah ditiru namun payah untuk melenggok sebagaimana Mael nyanyikan. Saya melihat XPDC terutamanya Mael adalah raja funfair kerana pada era 1980-90an mereka begitu popular dan menguasai pentas funfair.

Vokal utama kumpulan rock yang boleh dikatakan lagenda disahkan meninggal oleh anaknya Sharifah Irfatasha melalui whatsapp pada pukul 9;30 malam di Hospital Muar dipercayai berpunca daripada sesak nafas. Mael atau nama sebenarnya Syed Ismail Syed Ibrahim lahir pada 1967 dan meninggal pada hari ini 27 April 2023 pada usia 55tahun

Al Fatihah.


Aku masih disini... Mael XPDC


Rabu, 27 Julai 2022

Menonton Mat Kilau


Sebulan selepas tayangan Mat Kilau membuat kutipan mencecah RM90 juta barulah saya berpeluang menonton filem ini di Wangsa Maju Walk Mall. Sebenarnya ini adalah juga filem genre kegemaran saya iaitu filem sejarah biarpun belum sebagai epik. Ketika ramai mengatakan tentang filem Mat Kilau saya masih tertanya tanya di mana kekuatan filem ini, Setelah menonton saya dapat buat andaian bahawa kisah sejarah sudah lama diflemkan sejak zaman filem hitam putih seperti Hang Jebat, Hang Tuah, Tun Perak, Laksamana Bentan, Sultan Mahmud Mangkat dijulang dan banyak lagi kemudian diikuti oleh filem sejarah zaman filem berwarna seperti Raja Bersiong, Mat Salleh Pahlawan Sabah, Bukit Kepong.. selepas itu ia terus dihasilkan pada zaman moden seperti Leftenan Adnan, Hikayat Merong Mahawangsa dan juga Puteri Gunung Ledang.. Tetapi filem Mat Kilau telah mengatasi filem filem tersebut.

Bukan untuk menidakkan rezeki penerbit dan karyawan filem Mat Kilau, namun sedikit sebanyak filem ini dipengaruhi oleh beberapa perkara antaranya kesan filem Munafik 2 yang ditayangkan sebelum pendemik Covid 19 yang membuat kutipan RM48 juta. Film ini diarahkan juga oleh Syamsul Yusof, bila Mat Kilau disiapkan sebilangan penonton masih dalam mood untuk melihat lagi filem arahan Syamsul Yusof . Tambahan pula selepas 2 tahun Pawagam ditutup bila perintah kawalan pergerakan ditamatkan filem Mat kilau pula dihidangkan kepada penonton, penonton akan hadir ke pawagam untuk melepaskan tekanan selama dua tahun dan filem ini muncul. 

Penonton terutama oang Melayu sudah mula mengambil tahu hal ketuanan Melayu dan pejuangan apabila mereka telah mengalami bagaimana Malaysia selepas PRU14 yang sudah dikuasai oleh DAP dan kaum Cina yang dianggap telah mnghina dan meugikan oang Melayu maka mereka merasa seolah dijajah semula seperti zaman Bitish di dalam filem Mat Kilau.

Walaupun sebelum ini banyak pawagam yang ditutup namun sebeenanya pawagam baru di setiap pasaraya besar menyumbang keepada jumlah penonton, Menonton di pawagam telah mmbuka mata oang ramai bahawa pawagam menydiakan suasana yang lebih sesuai dan berkesan berbanding menonton di skin televisyen di umah. Misalnya di Hollwood filem mereka tetap mndapat tempat walaupun skrin individu boleh ditonton di rumah sahaja.

Sebagai seoang yang pernah telibat dengan kerja penyuntingan saya juga dapat melihat suntingan yang dibuat sendiri oleh pngarah biasanya lebih baik dan mengikut mood asal penceritaan dan dalam Mat Kilau suntingan babak berlawan dibuat dengan baik, nampak ketangkasan biapun sebenanya silat Melayu ada bunga bunga dan tainya dan tidaklah sbagaimana seni bela diri seperti kungfu. 

Menonton film keluaga Yusuf Haslam kita tak dapat lari daipada meseej percakapan yang sntiasa melantun pesanan atau penjelasan kepada penonton walaupun hakikat sebenarnya jika suasana kita bearda di zaman tesbut dialog dialog sebegitu mungkin tidak belaku, anda boleh lihat drama kepolisan oleh Yusuf Haslam yang mana kadang kadang kita rasa janggal seperti sedang mendengar taklimat dalam drama tebitan atau arahannya.


Apapun filem Melayu kini sudah boleh berbangga selepas pertama kali filem Melayu keluar daripada zaman gelap bermula daripada kejayaan filem Sembilu RM4juta dan Semnilu 2 mengutip lebih RM6juta arahan Yusof Haslam. Bermula dari itu filem Melayu mula bernafas dan Mat Kilau mungkin boleh membuka jalan untuk pasaran seluruh dunia,

"Filem Kita Wajah Kita"



Isnin, 6 Jun 2022

Showtime 1958

Semalam isteri saya tegur bila dia lihat saya menonton filem Melayu, dia heran kerana selama ini dia hanya nampak saya menonton filem antarabangsa dan tidak menonton filem Melayu. Saya tak beri jawapan sebab memang benar saya sangat jarang menonton filem Melayu walaupun saya bekas karyawan filem dan drama Melayu, saya tidak berpuas hati dan nampak kelemahan pada filem Melayu sejak itu saya tidak tertarik walaupun sebenarnya banyak juga filem dan drama Melayu yang baik.

Masa isteri saya tegur saya sedang menonton filem Melayu arahan Anwardi Jamil, anak kepada pengarah filem dan Karyawan yang saya hormati iaitu Allahyarham Jamil Sulong. Saya tidak berpeluang bekerja dengan Jamil Sulong tetapi saya pernah beberapa kali berhubung dan bercakap dengan isterinya Rosnani Jamil dalam urusan dengan syarikat perfilemannya iaitu RJ Filem. Ibu Anwardi Jamil seorang yang sangat sopan santun dan lemah lembut budi bahasanya dia juga berbahasa Kelantan dengan saya.

Showtime 1958 adalah kisah benar tentang penglibatan Allahyarham seniman P. Ramlee dengan satu persembahan besar di buat di Singapura tahun 1958. Persembahan yang juga diilhamkan oleh P. Ramlee yang ketika itu di panggil Remy adalah untuk mendapatkan kewangan bagi membantu pekerja pekerja MFP di jalan Ampas yang diberhentikan kerja oleh majikan mereka, dalam proses melakukan persembahan ini banyak kebetulan berlaku antaranya penyanyi David yang asalnya pekerja studio akhirnya terpaksa menggantikan penyanyi asal yang tidak hadir malam persembahan hasilnya David mendapat perhatian pengurus kelab malam untuk menjadi penyanyi di Kuala Lumpur. Kemenangan ratu kebaya juga sangat dramatik yang mana seorang remaja anak yatim tersesat ke belakang pentas yang disangka oleh penganjur sebagai peserta akhirnya dia memenangi pertandingan ratu kebaya pada malam itu. Pada malam itu juga pelawak Hamid meninggal dunia dibelakang pentas.

1958 adalah tahun Malaya baru saja memperolehi kemerdekaan, ramai orang Melayu di Singapura berhijrah ke kuala Lumpur, orang Melayu termasuk P.Ramlee dan rakan rakan sudah merasai bahawa orang Melayu di Singapura sudah mula ditinggalkan oleh kemodenan Singapura serta unsur ketidakadilan sangat dirasai hingga ada cadangan untuk meminta bantuan Tunku Abdul rahman bagi campurtangan dalam masalah pekerja filem di Jalan Ampas. Orang yang lantang berpolitik dalam kalangan seniman adalah Jeffry Zain dan P.Ramlee mengatakan Jeffry Zain lebih mahir berpolitik daripada menyanyi.

Pada malam itu juga P. Ramlee menggubah lagu Hari Raya... yang sehingga kini masih segar lirik dihasilkan secara segera oleh jamil Sulong yang dianggap oleh P.Ramlee seorang yang bijak. Menurut kata Rosnani Jamil atau mesra dengan Mak Ani  "...Ramlee panggil arwah abang (Jamil) dan tanya nak buat lagu apa, mereka pun pergi dalam masa sepuluh minit sebelum kembali dengan lagu Selamat Hari Raya" 

kemerosotan studio Jalan Ampas menyebabkan ramai yang berhijrah ke Cathay Keris dan pada tahun 1967 Studio Jalan Ampas akhirnya ditutup.