Isnin, 23 Mac 2020

Covid 19 mengingatkan Dost Dost Na Raha

Lockdown selama 14 hari kepada rakyat Malaysia untuk menyekat rantaian virus Covid-19 adalah satu kejutan dan suasana baru bagi sebahagian besar rakyat yang selama ini hidup bebas dan aman damai. Namun bagi yang pernah merasai hidup terkawal, berdisiplin serta diawasi sepanjang masa keadaan seperti ini tidaklah terasa membebankan atau kejutan apalagi kepada orang yang pernah terlibat dengan suasana perang atau darurat.

Dalam keadaan hidup yang terhad ini akan ada yang mula kreatif serta mendapat kepandaian baru dalam diri mereka, mungkin ada yang sudah pandai memasak sendiri, mahir menguruskan rumah dan halaman, berjaya menghabiskan bacaan buku kesukaan, sudah mula tidak kekok menjadi iman solat atau makmun solat yang baik, mungkin juga lebih ramai yang semakin dekat dengan rakan- rakan di media maya serta berjaya menjejaki rakan rakan lama.

Bagi saya pula perintah kawalan pergerakan ini tidak begitu merubah rutin harian kerana kebanyakan masa saya sebelum ini pun banyak beraktiviti di kawasan rumah, menguruskan ternakan, mencuci kebun atau menyiapkan homestay yang sentiasa ada tetamu, sekatan ini hanya memberi kesan minima kepada saya,

Saya perasan ramai yang sudah kerap menaikkan status dalam sehari yang memperlihatkan betapa mereka sudah rasa bosan dan tertekan.. perasaan itu saya maklumi kerana saya juga pernah berada dalam tahanan suatu masa dulu dan saya turut akui betapa sewaktu kebebasan kita tersekat kita begitu menghargai setiap rakan atau gelagat yang boleh menggembirakan hati kita. Satu suasana yang sangat berbekas diingatan adalah kawan yang sekali dalam tahanan dulu sering menyanyikan lagu Dost Dost Na Raha dari filem Sanggam.. kami sangat terhibur dan perlahan lahan sama sama nyanyikan lagu yang dinyanyikan oleh Sunder itu. Ia cepat terlekat dalam ingatan, inilah lagu yang bagi saya amat sayu kalau dinyanyikan sewaktu hati berbelah bagi serta tidak tenteram.. ayuh dengarkan..