Rabu, 10 Jun 2026

5 Filem terbaik yang dihasilkan oleh Malaysia

 


1. Pendekar Bujang Lapok

Mengisahkan tiga sahabat, Ramlee, Sudin dan Aziz, yang bercita-cita menjadi pendekar. Mereka berguru dengan seorang guru silat yang garang dan melalui pelbagai peristiwa lucu sebelum berjaya membantu menentang penjahat di kampung. Filem ini terkenal dengan komedi cerdik, sindiran sosial dan nilai persahabatan.

2. Ibu Mertuaku

Kisah tragis seorang pemuzik berbakat bernama Kassim Selamat yang berkahwin dengan Sabariah tetapi ditentang oleh ibu mertuanya yang memandang rendah kerana faktor status dan kekayaan. Filem ini dikenang kerana jalan ceritanya yang menyentuh emosi serta babak "Kassim Selamat buta" yang menjadi legenda.

3. Sepet

Mengisahkan percintaan antara Orked, seorang gadis Melayu, dan Jason, seorang pemuda Cina penjual VCD. Hubungan mereka berdepan cabaran perbezaan budaya dan pandangan masyarakat. Filem ini dipuji kerana menyentuh isu perpaduan, identiti dan realiti masyarakat Malaysia secara jujur.

4. Ola Bola

Diinspirasikan daripada kejayaan pasukan bola sepak Malaysia layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980. Filem ini memaparkan semangat perjuangan, perpaduan pelbagai kaum dan pengorbanan pemain demi negara. Ia menjadi antara filem patriotik paling berjaya dalam sejarah Malaysia.

5. Munafik

Berkisarkan Ustaz Adam yang mengalami trauma selepas kematian isterinya dan kemudian berhadapan dengan gangguan sihir serta makhluk halus ketika membantu seorang wanita yang dirasuk. Selain unsur seram, filem ini menekankan soal akidah, keimanan dan perjuangan melawan kejahatan.

Kesimpulan Ringkas

  • Komedi terbaik: Pendekar Bujang Lapok
  • Drama terbaik: Ibu Mertuaku
  • Filem perpaduan terbaik: Sepet
  • Filem patriotik terbaik: Ola Bola
  • Filem seram terbaik: Munafik

Kelima-lima filem ini mewakili era dan genre berbeza, tetapi semuanya dianggap antara karya paling penting dalam sejarah perfileman Malaysia.

Rabu, 20 Mei 2026

Good Will Hunting


Hari ini saya menonton filem Good Will Haunting yang dikeluarkan pada tahun 1997. Pelakonnya ialah Matt Damon sebagai Will Hunting iaitu pemuda genius yang bergelut dengan trauma dan arah hidup, Robin Williams sebagai Sean Maguire seorang kaunselor yang membantu Will memahami dirinya, Ben Affleck sebagai Chuckie iaitu sahabat baik Will yang sentiasa menyokongnya, Minnie Driver sebagai Skylar berperanan sebagai wanita yang cuba membuka hati Will dan Stellan SkarsgĂ„rd sebagai Profesor Gerald Lambeau.

Filem yang baik ini mencapai kejayaan menang 2 Anugerah Oscar di Academy Awards iaitu lakon Layar Asal Terbaik (Matt Damon & Ben Affleck) dan kategori pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Robin Williams). Filem ini juga melonjakkan nama Matt Damon dan Ben Affleck menjadi bintang besar di Hollywood.

Good Will Hunting ialah filem tentang seorang pemuda genius bernama Will Hunting yang bekerja sebagai pencuci di universiti, tetapi sebenarnya mempunyai bakat luar biasa dalam matematik. Walaupun sangat bijak, Will hidup dengan penuh kemarahan, trauma masa silam, dan sukar mempercayai orang lain. Dia sering bergaduh dan mensia-siakan bakatnya kerana takut menghadapi kehidupan sebenar. Seorang profesor cuba membantu Will, tetapi akhirnya dia dihantar bertemu seorang kaunselor bernama Sean Maguire yang dilakon oleh Robin Williams. Hubungan antara mereka perlahan-lahan membuka hati Will untuk memahami dirinya sendiri.

Selepas menonton filem ini saya tefikir hidup ini bukan hanya tentang diri sendiri. Tentang bagaimana mahu berjaya, bergerak ke depan, dan menyelesaikan masalah sendiri tanpa bergantung pada sesiapa. Tapi semakin saya merenungi kehidupan, semakin saya sedar…setiap manusia yang hadir sebenarnya meninggalkan sesuatu dalam diri kita.

Ada orang datang memberi semangat. Ada yang datang mengajar erti kecewa. Ada yang hanya singgah sebentar, tetapi kesannya tinggal bertahun-tahun. Saya mula faham bahawa hidup manusia bukan perjalanan seorang diri. Seperti dalam Good Will Hunting, seseorang boleh jadi sangat bijak, sangat kuat, tetapi tetap perlukan manusia lain untuk melihat sisi dirinya yang dia sendiri tak nampak. Kadang-kadang orang yang menegur kita itulah yang menyelamatkan kita. Kadang-kadang orang yang menyakitkan kita itulah yang mematangkan kita. Dan kadang-kadang orang yang percaya pada kita… menjadi sebab kita terus berjalan.

Mungkin benar, semua orang ada peranan dalam hidup kita. Bukan semua hadir untuk kekal, tetapi semua hadir untuk meninggalkan pelajaran.Dan saya melihat manusia bukan sekadar “orang lain”…tetapi sebahagian daripada perjalanan yang membentuk siapa diri saya sebenarnya.

Khamis, 30 April 2026

Tok Imam Haji Sair


Di setiap tempat sama ada peringkat kampung, mukim, daerah, jajahan, negeri serta negara kita didedahkan dengan tokoh tokoh tertentu yang membuat jasa dan meninggalkan sesuatu yang bermanfaat kepada orang lain. Di mukim Pengkalan Cengal dalam jajahan Bachok juga ada seorang tokoh yang barangkali sudah tidak lagi dikenali oleh generasi baru ia adalah :- Allahyarham Tok Imam Haji Sair @ Mohamed (1934–1995)

Allahyarham dilahirkan pada tahun 1934 di Kampung Pengkalan Pak Kassim. Sejak kecil lagi kehidupannya telah melalui pengalaman yang luar biasa dan penuh ujian. Ketika Tanah Melayu dalam peralihan daripada penjajahan Jepun kembali kepada pemerintahan British, keselamatan kampung-kampung sering tergugat. Dalam suasana genting itulah satu tragedi hitam menimpa, rumah keluarga Haji Awang Hamat telah diserang oleh sekumpulan perompak. Walaupun Haji Awang Hamat memiliki senapang untuk mempertahankan diri, pergelutan yang berlaku akhirnya meragut nyawanya. Peristiwa tragis ini meninggalkan kesan mendalam sehingga keluarganya membuat keputusan berpindah ke sebuah penempatan baru di Pengkalan Chengal yang kemudiannya dikenali sebagai Kampung Pengkalan Baru.

Walaupun kehidupan dihimpit ujian, semangat menuntut ilmu tidak pernah padam dalam diri Haji Sair. Pada ketika itu, peluang pendidikan amat terhad. Namun beliau menjadi salah seorang daripada hanya tiga orang anak kampung yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Sekolah Jamek, yang kini dikenali sebagai Ma'ahad Muhammadi. Selepas itu, beliau meneruskan pengajian agama di Pondok Bunut Payong dan Pondok Tok Kenali, kedua institusi pondok ini adalah pusat pengajian yang terkenal melahirkan ramai tokoh agama di Kelantan.

Ketika berusia 18 tahun datuk dan neneknya membawa beliau bersama menunaikan ibadah haji ke Tanah Suci. Namun takdir Ilahi menentukan perjalanan pulangnya penuh kesedihan. Datuknya meninggal dunia di Mekah, manakala neneknya pula kembali ke rahmatullah di Madinah. Haji Sail akhirnya pulang ke tanah air seorang diri, membawa bersama kenangan yang menjadi titik awal pembentukan jiwa yang tabah dalam dirinya.

Keilmuan dan kewibawaan beliau mula terserlah apabila sering diundang untuk menjadi imam solat di beberapa tempat. Antaranya beliau kerap berulang-alik ke Kampung Jelawat bagi memimpin solat, khususnya solat tarawih pada bulan Ramadan. Di sinilah juga bermula perjalanan hidup berkeluarga beliau apabila dijodohkan oleh bapa saudaranya dengan Azizah binti Awang Teh. Ketika itu Haji Sair berusia 22 tahun manakala isterinya berumur 11 tahun. Pasangan yang mengharungi hidup dengan harmoni dan sabar ini kemudiannya dikurniakan cahaya mata pertama pada 1957 di beri nama Sabariah. Sepanjang perkongsian hidup mereka dikurniakan 9 orang anak terdiri daripada 5 lelaki dan 4 perempuan.

Mewarisi tradisi keluarganya, Haji Sair menjadi generasi ketiga yang berkhidmat sebagai imam di Mukim Pengkalan Cengal menggantikan bapa mertuanya. Ketika itu, masjid kampung terletak berhampiran rumahnya tetapi berada agak jauh dari laluan utama penduduk. Menyedari kesukaran masyarakat untuk beribadah di situ, beliau bersama beberapa orang rakan berusaha dengan penuh kesungguhan untuk memindahkan lokasi masjid ke tempat yang lebih sesuai. Dengan kerjasama penduduk dan bantuan pihak Majlis Agama, sebuah masjid baru akhirnya berjaya dibina di tanah wakaf milik Haji Hasan di kawasan yang dikenali sebagai kampung Dusun Itik. Masjid tersebut kemudiannya menjadi pusat ibadah, perpaduan dan kegiatan masyarakat kampung.

Sumbangan beliau tidak terhenti di situ. Haji Sair juga memainkan peranan penting dalam usaha memindahkan sekolah rakyat kampung ke lokasi baru yang lebih luas di tanah milik keluarganya yang diwakafkan di Kampung Pengkalan Pak Kassim. Mengenangkan jasanya, beliau dilantik sebagai pengerusi pertama sekolah tersebut. Sekolah rakyat itu kemudiannya berkembang dan akhirnya dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Pengkalan Cengal, sebuah institusi pendidikan yang terus memberi manfaat kepada anak- anak dan masyarakat kampung sekitarnya.

Selain itu, beliau juga berusaha memperbaiki kemudahan asas kampung. Laluan kecil yang dahulu hanya berupa denai menuju ke rumahnya telah diusahakan sehingga menjadi jalan yang boleh dilalui kenderaan. Jalan tersebut kini dikenali sebagai Lorong Imam Haji Sair, sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangannya kepada masyarakat setempat.

Pada tahun 1993, Haji Sair menamatkan perkhidmatannya sebagai Imam Masjid Mukim Pengkalan Cengal. Namun persaraan itu tidak pernah menghentikan bakti beliau kepada agama dan masyarakat. Beliau terus aktif menyampaikan dakwah, terlibat dalam gerakan mubaligh / halaqah, membimbing masyarakat dalam hal-hal agama serta mengambil bahagian dalam kegiatan siasah setempat.

Setelah melalui kehidupan yang penuh jasa dan pengorbanan, Allahyarham Tok Imam Haji Sair @ Mohamed kembali ke rahmatullah pada 5 Januari 1995. Pemergiannya meninggalkan kenangan mendalam kepada keluarga dan masyarakat kampung. Namun jasa, ilmu dan pengorbanannya terus hidup dalam ingatan generasi yang mengenali beliau serta dalam institusi-institusi yang pernah beliau bangunkan demi kemajuan agama dan masyarakat.


Tok Imam Hj Sair bersama rakan seperjuangan iaitu Tok ime Ya @ Zakaria Tepus / Pauh Lima (Tengah) dan Tok Ime Mat Zain Kg Chap (Tepi- baju Melayu putih)  Gbr masa kursus Imam Anjuran MAIK di Lundang, Kelantan


Ahad, 8 Februari 2026

Notting Hills


Sekali lagi saya termenonton Notting Hills yang ditayangkan di rtmTv2. bagi saya ini antara filem yang buatkan ramai orang tertegun depan skrin dan turut terbawa dalam kisah cinta hebat mereka. Sebagaimana ulasan AI tentang filem ini yang berbunyi "Cinta hebat Julia Roberts (Anna Scott) dan Hugh Grant (William Thacker) dalam filem Notting Hills (1999) memukau penonton dengan kisah cinderalla terbaik. Filem ini sudah saya ulas pada tahun 2017 dan saya cadangkan agar anda membaca DI SINI kerana ulasanya adalah perkara hampir sama semoga selepas membaca catatan saya anda akan mencari filemnya dan percayalah anda akan terbawa ke dalam indahnya cinta mereka dan membandingkan dengan cinta anda. 

Jumaat, 28 April 2023

Raja funfair meninggal dunia..

 Mendengar khabar kembalinya Mael vokalis kumpulan musik XPDC kepada pencipta membuatkan keinsafahan kehebatan dan kemashuran akhirnya tiada apa apa bila kita hanya berkain kafan bersendirian di alam kubur.

Saya sepertimana ramai rakyat Malaysia meminati keunikan dan mantapnya suara Mael terutama dalam album yang dirakam di Amerika Syarikat satu masa dulu. Seakan suaranya mudah ditiru namun payah untuk melenggok sebagaimana Mael nyanyikan. Saya melihat XPDC terutamanya Mael adalah raja funfair kerana pada era 1980-90an mereka begitu popular dan menguasai pentas funfair.

Vokal utama kumpulan rock yang boleh dikatakan lagenda disahkan meninggal oleh anaknya Sharifah Irfatasha melalui whatsapp pada pukul 9;30 malam di Hospital Muar dipercayai berpunca daripada sesak nafas. Mael atau nama sebenarnya Syed Ismail Syed Ibrahim lahir pada 1967 dan meninggal pada hari ini 27 April 2023 pada usia 55tahun

Al Fatihah.


Aku masih disini... Mael XPDC


Rabu, 27 Julai 2022

Menonton Mat Kilau


Sebulan selepas tayangan Mat Kilau membuat kutipan mencecah RM90 juta barulah saya berpeluang menonton filem ini di Wangsa Maju Walk Mall. Sebenarnya ini adalah juga filem genre kegemaran saya iaitu filem sejarah biarpun belum sebagai epik. Ketika ramai mengatakan tentang filem Mat Kilau saya masih tertanya tanya di mana kekuatan filem ini, Setelah menonton saya dapat buat andaian bahawa kisah sejarah sudah lama diflemkan sejak zaman filem hitam putih seperti Hang Jebat, Hang Tuah, Tun Perak, Laksamana Bentan, Sultan Mahmud Mangkat dijulang dan banyak lagi kemudian diikuti oleh filem sejarah zaman filem berwarna seperti Raja Bersiong, Mat Salleh Pahlawan Sabah, Bukit Kepong.. selepas itu ia terus dihasilkan pada zaman moden seperti Leftenan Adnan, Hikayat Merong Mahawangsa dan juga Puteri Gunung Ledang.. Tetapi filem Mat Kilau telah mengatasi filem filem tersebut.

Bukan untuk menidakkan rezeki penerbit dan karyawan filem Mat Kilau, namun sedikit sebanyak filem ini dipengaruhi oleh beberapa perkara antaranya kesan filem Munafik 2 yang ditayangkan sebelum pendemik Covid 19 yang membuat kutipan RM48 juta. Film ini diarahkan juga oleh Syamsul Yusof, bila Mat Kilau disiapkan sebilangan penonton masih dalam mood untuk melihat lagi filem arahan Syamsul Yusof . Tambahan pula selepas 2 tahun Pawagam ditutup bila perintah kawalan pergerakan ditamatkan filem Mat kilau pula dihidangkan kepada penonton, penonton akan hadir ke pawagam untuk melepaskan tekanan selama dua tahun dan filem ini muncul. 

Penonton terutama oang Melayu sudah mula mengambil tahu hal ketuanan Melayu dan pejuangan apabila mereka telah mengalami bagaimana Malaysia selepas PRU14 yang sudah dikuasai oleh DAP dan kaum Cina yang dianggap telah mnghina dan meugikan oang Melayu maka mereka merasa seolah dijajah semula seperti zaman Bitish di dalam filem Mat Kilau.

Walaupun sebelum ini banyak pawagam yang ditutup namun sebeenanya pawagam baru di setiap pasaraya besar menyumbang keepada jumlah penonton, Menonton di pawagam telah mmbuka mata oang ramai bahawa pawagam menydiakan suasana yang lebih sesuai dan berkesan berbanding menonton di skin televisyen di umah. Misalnya di Hollwood filem mereka tetap mndapat tempat walaupun skrin individu boleh ditonton di rumah sahaja.

Sebagai seoang yang pernah telibat dengan kerja penyuntingan saya juga dapat melihat suntingan yang dibuat sendiri oleh pngarah biasanya lebih baik dan mengikut mood asal penceritaan dan dalam Mat Kilau suntingan babak berlawan dibuat dengan baik, nampak ketangkasan biapun sebenanya silat Melayu ada bunga bunga dan tainya dan tidaklah sbagaimana seni bela diri seperti kungfu. 

Menonton film keluaga Yusuf Haslam kita tak dapat lari daipada meseej percakapan yang sntiasa melantun pesanan atau penjelasan kepada penonton walaupun hakikat sebenarnya jika suasana kita bearda di zaman tesbut dialog dialog sebegitu mungkin tidak belaku, anda boleh lihat drama kepolisan oleh Yusuf Haslam yang mana kadang kadang kita rasa janggal seperti sedang mendengar taklimat dalam drama tebitan atau arahannya.


Apapun filem Melayu kini sudah boleh berbangga selepas pertama kali filem Melayu keluar daripada zaman gelap bermula daripada kejayaan filem Sembilu RM4juta dan Semnilu 2 mengutip lebih RM6juta arahan Yusof Haslam. Bermula dari itu filem Melayu mula bernafas dan Mat Kilau mungkin boleh membuka jalan untuk pasaran seluruh dunia,

"Filem Kita Wajah Kita"



Isnin, 6 Jun 2022

Showtime 1958

Semalam isteri saya tegur bila dia lihat saya menonton filem Melayu, dia heran kerana selama ini dia hanya nampak saya menonton filem antarabangsa dan tidak menonton filem Melayu. Saya tak beri jawapan sebab memang benar saya sangat jarang menonton filem Melayu walaupun saya bekas karyawan filem dan drama Melayu, saya tidak berpuas hati dan nampak kelemahan pada filem Melayu sejak itu saya tidak tertarik walaupun sebenarnya banyak juga filem dan drama Melayu yang baik.

Masa isteri saya tegur saya sedang menonton filem Melayu arahan Anwardi Jamil, anak kepada pengarah filem dan Karyawan yang saya hormati iaitu Allahyarham Jamil Sulong. Saya tidak berpeluang bekerja dengan Jamil Sulong tetapi saya pernah beberapa kali berhubung dan bercakap dengan isterinya Rosnani Jamil dalam urusan dengan syarikat perfilemannya iaitu RJ Filem. Ibu Anwardi Jamil seorang yang sangat sopan santun dan lemah lembut budi bahasanya dia juga berbahasa Kelantan dengan saya.

Showtime 1958 adalah kisah benar tentang penglibatan Allahyarham seniman P. Ramlee dengan satu persembahan besar di buat di Singapura tahun 1958. Persembahan yang juga diilhamkan oleh P. Ramlee yang ketika itu di panggil Remy adalah untuk mendapatkan kewangan bagi membantu pekerja pekerja MFP di jalan Ampas yang diberhentikan kerja oleh majikan mereka, dalam proses melakukan persembahan ini banyak kebetulan berlaku antaranya penyanyi David yang asalnya pekerja studio akhirnya terpaksa menggantikan penyanyi asal yang tidak hadir malam persembahan hasilnya David mendapat perhatian pengurus kelab malam untuk menjadi penyanyi di Kuala Lumpur. Kemenangan ratu kebaya juga sangat dramatik yang mana seorang remaja anak yatim tersesat ke belakang pentas yang disangka oleh penganjur sebagai peserta akhirnya dia memenangi pertandingan ratu kebaya pada malam itu. Pada malam itu juga pelawak Hamid meninggal dunia dibelakang pentas.

1958 adalah tahun Malaya baru saja memperolehi kemerdekaan, ramai orang Melayu di Singapura berhijrah ke kuala Lumpur, orang Melayu termasuk P.Ramlee dan rakan rakan sudah merasai bahawa orang Melayu di Singapura sudah mula ditinggalkan oleh kemodenan Singapura serta unsur ketidakadilan sangat dirasai hingga ada cadangan untuk meminta bantuan Tunku Abdul rahman bagi campurtangan dalam masalah pekerja filem di Jalan Ampas. Orang yang lantang berpolitik dalam kalangan seniman adalah Jeffry Zain dan P.Ramlee mengatakan Jeffry Zain lebih mahir berpolitik daripada menyanyi.

Pada malam itu juga P. Ramlee menggubah lagu Hari Raya... yang sehingga kini masih segar lirik dihasilkan secara segera oleh jamil Sulong yang dianggap oleh P.Ramlee seorang yang bijak. Menurut kata Rosnani Jamil atau mesra dengan Mak Ani  "...Ramlee panggil arwah abang (Jamil) dan tanya nak buat lagu apa, mereka pun pergi dalam masa sepuluh minit sebelum kembali dengan lagu Selamat Hari Raya" 

kemerosotan studio Jalan Ampas menyebabkan ramai yang berhijrah ke Cathay Keris dan pada tahun 1967 Studio Jalan Ampas akhirnya ditutup.

Isnin, 7 Februari 2022

Lata Mangeshkar, Nightingale India, meninggal dunia pada usia 92 tahun


Penyanyi veteran Lata Mangeshkar meninggal dunia di Mumbai pada hari Ahad pada usia 92 tahun.
Digelar Swar Kokila oleh legiun peminatnya, kematian Mangeshkar melabuhkan tirai pada era dalam
industri filem India.

Penyanyi lagenda Lata Mangeshkar meninggal dunia akibat kegagalan pelbagai organ. Penyanyi serba boleh, yang digelar Nightingale of India, telah meminjamkan suaranya kepada ribuan lagu dalam 36 bahasa dalam kerjayanya yang menjangkau hampir lapan dekad. Personaliti terkemuka dari semua lapisan masyarakat memberi penghormatan yang berlimpah kepada Mangeshkar. Penyanyi itu dikebumikan pada petang Ahad dengan penghormatan penuh negeri di Taman Shivaji. Mumbai. Perdana Menteri Narendra Modi turut melawat Mumbai untuk memberi penghormatan terakhir kepada ‘swar kokila’ India. Sebagai tanda penghormatan kepada penerima anugerah Bharat Ratna perkabungan negara selama dua hari telah diumumkan. Bendera Negara dikibarkan separuh tiang selama dua hari dan tidak akan ada hiburan rasmi.

Pengarah perubatan hospital Breach Candy berkata bahawa Lata Mangeshkar meninggal dunia pada 8:12 pagi pada hari Ahad. “Dia datang ke sini sebagai pesakit Covid. Kami mencuba tahap yang terbaik untuk menyelamatkan legenda. Tetapi dia mengalami komplikasi,” katanya. 

Mangeshkar telah didiagnosis dengan Covid-19 dan radang paru-paru. Bercakap kepada Indian Express,
Dr Samdhani berkata mereka sangat berhati-hati sejak awal dan dia meninggal dunia kerana kegagalan
pelbagai organ yang berlaku sejak beberapa hari lepas. Pada hari Sabtu, Presiden MNS Raj Thackeray,
MP NCP Supriya Sule, isteri Ketua Menteri Uddhav Thackeray Rashmi dan kakak Lata Mangeshkar
Asha Bhosle, abang Hridaynath Mangeshkar pergi ke hospital untuk bertanya tentang kesihatannya.

Dilahirkan pada 28 September 1929, di Madhya Pradesh, Lata Mangeshkar mempunyai muzik dalam
gennya. Bapanya Pandit Deenanath Mangeshkar ialah seorang pemuzik Marathi dan pelakon teater.
Semasa hayatnya, Mangeshkar bekerja dengan ahli muzik dari pelbagai generasi ketika dia menyampai
nombor ikonik yang kekal relevan sehingga hari ini. Terkenal dengan kepelbagaiannya, Mangeshkar juga
berkecimpung dalam industri filem lain.

Selepas Lata Mangeshkar berpindah ke Mumbai, dia telah dibimbing oleh Master Vinayak, seorang
pembuat filem tahun 1930-an dan Ghulam Haider. Dia terus memupuk hubungan istimewa dengan
komposer Madan Mohan, dengan siapa dia menyampaikan beberapa lagu yang paling tidak dapat
dilupakannya. “Saya berkongsi hubungan istimewa dengan Madan Mohan, yang lebih daripada apa
yang dikongsi oleh penyanyi dan komposer muzik. Ini adalah hubungan abang dan kakak,” katanya
kemudian, memanggil ‘Woh chup rahe’ daripada Jahan Ara sebagai kolaborasi kegemaran mereka.
Dia mempunyai hubungan yang sama dengan Yash Chopra, dan kerjasama mereka menghasilkan
lagu popular seperti Dhool Ka Phool, Kabhi Kabhie, Silsila dan Dil Toh Pagal Hai. Dia juga bekerja
dengan anak lelaki Chopra, Aditya, di Dilwale Dulhaniya Le Jaayenge. Mungkin, Dilip Kumar, yang dia
panggil sebagai abangnya, berkata yang terbaik apabila dia berkata, "Tiada seorang pun yang dapat
menyamai kehalusan Lata. Amat sukar bagi sesiapa sahaja untuk bersaing dengannya kerana dia telah
melabur begitu banyak dalam setiap orang yang mementingkan muzik – terdapat banyak Lata Mangeshkar
dalam setiap orang.”

Mangeshkar telah dianugerahkan dengan tiga Anugerah Kebangsaan, dan telah dianugerahkan
Anugerah Dadasaheb Phalke pada tahun 1989. Pada tahun 2001, beliau telah dianugerahkan
Bharat Ratna atas sumbangannya kepada seni, sekali gus menjadi vokalis kedua menerima
penghormatan ini selain daripada gergasi muzik Carnatic lewat, MS. Subbulakshmi. Dia juga diberi
penghormatan dengan Padma Vibhushan dan Padma Bhushan. Lata Mangeshkar: Ini adalah anugerah
tuhan dan ibu bapa saya bahawa orang suka apa sahaja yang saya nyanyikan
Selain meminjamkan suaranya kepada beberapa lagu popular, Lata Mangeshkar juga telah dikreditkan
sebagai pengarah muzik. Dia menggubah muzik untuk Mohityanchi Manjula (1963), Maratha Tituka
Melvava (1964), Sadhi Manase (1965) dan Tambadi Mati (1969).

Mangeshkar juga telah menghasilkan beberapa filem seperti Vaadal, Jhaanjhar, Kanchan Ganga dan
Lekin. Lata Mangeshkar meninggalkan empat adiknya , Asha Bhosle, Usha Mangeshkar, Meena Khadikar
dan Hridaynath Mangeshkar.




Rabu, 15 Disember 2021

Misteri Rumah Nina - Ada di Youtube

Pada Januari 2020 saya ada menceritakan tentang sebuah drama yang bertajuk Misteri Rumah Nina - Kisah Seram Brunei yang barang kali kisahnya sudah sangat dikenali, di akhir catatan saya meluahkan rasa terkilan bila drama yang boleh saya anggap sebagai masterpiece saya sebagai penyunting tidak dapat di tonton di YouTube. 

Selepas itu ada komen yang mungkin mencetus usaha untuk mengupload semula drama bersiri ini. Kisah drama tv Misteri Rumah Nina ini walaupun mungkin menjadi jawapan tetapi saya lebih senang mengatakan bahawa siri drama itu sendiri adalah Misteri seiring dengan rumah Nina yang telah menjadi misteri... 

Antara siri yang anda boleh tonton di Youtube 

Kini saya rasa sangat gembira dan berterima kasih kepada channel GAMINGwith MADY yang berjaya mengusahakan agar drama itu dapat ditonton semula. Ianya sangat bermakna bagi saya kerana keterlibatan saya dalam penyuntingan sudah berlalu. Pada waktu itu media sosial Internet belum lagi ada, maka banyak kerja kita yang berlalu dan dilupakan  begitu sahaja. 

Hingga kini saya masih ada idea tentang filem dan drama tetapi peluang yang baik tidak datang kepada saya., diharap pihak penyiaran seperti RTM dapat mencontohi apa yang dilakukan oleh pihak  GAMINGwith MADY yang papar dan tayang kembali di saluran Youtube.

Rabu, 28 Julai 2021

Belangsungkawa Asni Mustafa

Mendapat berita sedih, seorang lagi mangsa pendemik covid19 yang juga rakan, khabarnya dia baru menerima vaksin dos pertama. Kali ini saya tak mahu membangkitkan kesangsian dan sikap selindung pihak Kementerian Kesihatan tentang risiko kematian selepas mengambil dos vaksin walaupun di negara negara luar mereka mengakuinya contohnya Australia yang mengaku kematian disebabkan vaksin adalah lebih 200 orang berbanding kematian disebabkan virus yang sebenar iaitu seorang sahaja dan saya sudahpun membuat hujahan sendiri di Pampasan rm500k

Apa yang saya mahu kongsikan kali ini adalah perasaan sedih bila mana berlakunya kematian kepada orang orang yang saya kira tidak mendatangkan masalah kepada kawan- kawan sebagaimana saya juga telah luahkan ketika berlaku kematian suami rakan sekampung yang juga rakan sebaya iaitu Maznifah Aizah di Tahlil rumah Che Ma serta luahan berkongsi kesedihan di atas kematian ibu Maliza  Sidek yang saya selami melalui lagu mawar putih Damailah di sana Mama

Kehilangan rakan ini iaitu Allahyarhamah Asni Mustafa yang setiap hari saya berharap dia akan pulih seperti sediakala akhirnya membuatkan saya rasa sedih apabila menyelami perasaan anak- anaknya yang sentiasa bersama dalam suka duka dan akhirnya secara spontan nyanyikan lagu Mawar Putih untuk Mama sekali lagi..

Kematian subuh hari ini adalah juga suatu kehilangan seorang watak memori zaman sekolah. Kembalinya Asni kepada pencipta disampaikan oleh anaknya melalui tulisan dan berita yang disampaikan, saya dapat mengesan bahawa anak sulung Asni seorang yang matang, tabah dan profesional dia tidak menunjukkan emosi bila setiap kali melaporkan perkembangan uminya melalui Facebook milik ibunya. Anak perempuan sulungnya ini mempunyai ciri ciri ketabahan dan berdikari sebagaimana arwah ibunya, ciri sebegini sangat baik untuk anak anak.

Bila mendapat berita saya kembali mengenang dan mengingat apabila dia sering memberitahu bahawa ketika sekolah rendah dahulu saya selalu menangis dalam kelas dan dialah yang memujuk serta memanggil kakak saya apabila saya menangis, walaupun saya tidak mengingati kejadian itu namun saya beranggapan apa yang diceritakan itu adalah benar.

Asni juga aktif dalam persatuan pengakap sewaktu sekolah rendah sebagaimana saya, apabila adanya perkemahan atau program pengakap yang waktu itu dijolokan sebagai anak serigala, Asni sentiasa ada bersama. Itulah moment yang banyak meninggalkan kesan kepada kami anak anak yang baru mengenal dunia.

Apabila ke sekolah menengah kami sudah tidak sekelas sehinggalah saya bertukar ke SM Jelawat, tapi apabila melihat profil FB nya Asni juga bertukar ke sekolah yang sama tetapi saya tidak menyedari hinggalah beberapa tahun lalu kami berjumpa di majlis perkahwinan anak sepupu saya di Cheras, KL. Asni menegur dan mengenali saya walaupun waktu itu saya berkepala botak dan gempal, dia nampaknya seronok bila berjumpa dengan orang sekampung dan senegeri, mungkin kerana lama berada di KL membuatkan perasaan sebegitu.

Asni jugalah menjadi rakan FB saya yang sentiasa komen dan like post saya. Saya tidak ramai kawan dan penggemar dalam FB dan jika ada like 20 pun dah kira banyak, Asnilah yang menjadi top friends saya Asni banyak posting tentang kegiatan hariannya dan saya juga pernah bertanya bila nak balik dan tinggal di kampung, dia hanya berkata belum sampai masanya sehinggalah tiba tiba Asni senyap, saya perasan dengan apa yang berlaku akhirnya Nabilah mengambil alih akaun FB uminya melaporkan apa yang berlaku.

kami kawan kawanya sentiasa berharap agar Asni kembali sembuh dan menceriakan suasana bersama rakan- rakan sayangnya Allah swt lebih rindukan orang yang baik- baik. Al Fatihah


Rabu, 30 Disember 2020

Rakan Warner Bros datang berkunjung


Selepas berjumpa dengan rakan yang tak jumpa lebih 20 tahun di Langkawi minggu lalu, hari ini seorang lagi rakan yang pernah kerja satu production datang ke rumah. Boe datang bersama keluarga sambil bercuti di Kelantan. Boe atau nama sebenarnya adalah Azhar Yatim adalah seorang jurukamera yang juga digelar Director Of Photoghraphy (DOP) Filem dan Tv yang pernah memenangi anugerah jurukamera terbaik kalau tak silap untuk Telefilem arahan Razak Mohaidin berjudul 'Semarai' .


Boe adalah ketua unit penggambaran kami, dia pernah melatih saya untuk menjadi seorang jurukamera profesional, tetapi saya menerima pelawaan menjadi editor, selepas itu kami tidak lagi bekerjasama kerana unit penggambaran adalah di lapangan dan editor pula kerja di studio, sehinggalah kami semua bekerja freelance dan membawa haluan masing masing. 


Beberapa tahun lalu saya mendapat berita dia sudah berhijrah ke Amerika dan bekerja di Hollywood kini katanya dia tidak lagi di Hollywood tetapi bekerja dibawah Warner Bros yang beroperasi di New Zealand .  Hari ini kami berbual panjang. Selepas makan saya bekalkan kelapa muda serta membawa anaknya yang nak melihat kambing. Isterinya Yunie Yunos yang juga  penerbit dan penyampai radio di JAKIM bertanya sama ada saya nak masuk semula ke dalam industri, saya berkata zaman dah tak sama macam dulu, saya sudah tak mampu mengejar teknologi, apabila diberitahu oleh Boe bahawa saya  tahu membuat skrip, dia seperti berminat untuk mendapatkan skrip radio dan berjanji akan berhubung lagi.

Saya pernah minta Boe hantar poskad untuk saya, sebenarnya saya juga mengumpul stem jadi saya cuma nak stem dari US. Mungkin dia ingat lagi permohonan saya itu jadi sebelum pulang Boe berikan stem magnet..


Selepas solat zohor berjemaah Boe meminta diri, InsyAllah ada rezeki jumpa lagi.


Jumaat, 11 Disember 2020

Terkenang Kak Wan

Rupanya sudah lebih 3 bulan Hjh Wan Chick Daud @ Othman meninggal dunia, hari ini terpanggil untuk mengenang Allahyarhamah bila menonton lakonannya sebagai Milah dalam filem Do Re Mi bersama P. Ramlee, A.R Badol dan Ibrahim Din. walaupun lakonan itu adalah pertama kali tetapi aksinya mencuit dan tidak mengecewakan, entah mengapa Wan Chick hanya berlakon dua filem sahaja dan yang terakhir adalah dalam filem Nasib Do Re Mi sebagai jururawat. Seperti yang selalu saya nyatakan bahawa hubungan dengan suaminyalah iaitu M. Rajoli yang secara tak langsung membuat saya turut mengenali Wan Chick Daud kerana waktu itu M. Rajoli seperti bapa kepada saya dan kami sangat rapat pada waktu itu.

Mengenali Wan Chick Daud yang sudah tidak lagi membaca berita. Adalah juga sesekali M. Rajoli bawa Kak Wan ke lokasi penggambaran dan diperkenalkan saya, Tidak banyak yang boleh saya ingat tentang Wan Dhick Daud yang sentiasa bertudung lawa.. cuma apa yang saya boleh pastikan adalah arwah seorang yang halus tutur katanya, bersifat keibuan serta bijaksana dalam melayan karenah suaminya yang sentiasa berdarah muda dan bersemangat.

Waktu Kak Wan terlantar saya tidak berkesempatan untuk melawat, tambahan pula mungkin Kak Wan tidak lagi mengenali kerana saya sudah lama mengundur diri daripada kerjaya yang memperkenalkan saya dengan anak anak wayang.. saya hanya mengirimkan doa dan sedekah Al Fatihah untuk Kak wan yang pernah berbuat baik kepada saya.

Khamis, 21 Mei 2020

Nabi Samson as dan Malam Lailatul Qadar

Pada 10 malam terakhir Ramadhan ini kita tentunya tidak asing lagi mendengar surah Al Qadar dibacakan ataupun kita sendiri akan berulang ulang membaca ayat tersebut di dalam solat sunat tarawih. Suatu masa Rasullulah saw ditanya oleh sahabat tentang sebab baginda tersenyum sendiri, lalu baginda saw berkata punca baginda tersenyum adalah bila diberitahu bahawa Nabi Sam'un Ghazi  masuk syurga seorang diri tanpa ada pengikut. Rasullulah menceritakan bahawa nabi Syam'un as sepanjang hidupnya berjuang dan berperang melawan orang kafir. nabi Syam'un as mempunyai kekuatan luar biasa yang tidak terkalah. Ia bertarung hanya menggunakan tulang rahang unta sahaja sebagai senjata Ini memberi ancaman dan iri hati raja Israel menyebabkan raja menawarkan hadiah dan harta yang banyak jika sesiapa dapat membuka rahsia kekuatan nabi Syam'un as. turut tergoda dengan tawaran itu termasuklah isteri nabi Syam'un sendiri, Isteri nabi Syam'un as membujuk nabi Syam'un as agar membuka rahsia kekuatannta, Nabi Syam'un as mengatakan kekuatan terletak pada rambutnya, pada suatu malam isteri nabi Syam'un as bernama Delilah mengikat kaki dan tangan nabi Syam'un as sewaktu baginda sedang tidur dengan menggunakan 4 helai rambut baginda sendiri. nabi Syam'un as kemudian berjaya ditangkap, dibutakan mata, dihiris mulunya serta diseksa di khalayak dan isterinya sendiri. nabi Syam'un as berdoa agar diberi kekuatannya semula, nabi Syam'un berjanji akan bertaubat dan menentang musuh Allah swt selama 1000 bulan lagi sebelum baginda meninggal dunia. Allah swt memperkenankan doa nabi Syam'un as, Istana dan kuil yang mengikat nabi Sham'un as dirobohkan oleh nabi Syam'un as, semua yang ada mati kerana ditimpa batu bata termasuk isterinya sendiri.


Pada akhir kisah oleh nabi saw para sahabat menangis dan bertanya apakah mereka boleh mendapat pahala sebagaimana yang diperolehi oleh nabi Syamun as.. tidak berapa lama selepas itu Jibril menurunkan surah Al Qadar :-

Bismillahirrahmanirrahim
1.Innaa anzalnahu fii lailatil qadr.
2.Wa maa adrooka maa lailatul qadr
3.Lailatul qadri khairummin alfi syahr.
4.tanazzalul malaa’ikatu warruuhu fiihaa bi iznirabbihim minkulli amr
5.saaalamun hiya hatta mathla’il fajr.
Maksudnya:
1.Sesungguhnya kami telah turunkannya (al Qur’an) pada malam al qadr.
2.Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?
3.Malam al qadr itu lebih baik daripada seribu bulan
4.Turun malaikat2 dan malaikat Jibril padanya(malam al qadr) dengan izin Tuhan mereka membawa segala urusan.
5.Selamat sejahteralah ia(malam al qadr) sehinggalah terbit fajar (Subuh).
Dunia barat memanggil nabi Sham'un as adalah Samson atau Simon sebagaimana banyak diceritakan dan difilemkan dengan judul Samson and Delilah atau Samson sahaja. namun filem yang dibuat ini adalah daripada kaca mata orang bukan Islam yang mungkin dikutip daripada kisah kisah Israiliat. 
Pada malam Ramadhan ke 28 ini kita memilih filem Samson berdurasi 1 jam 45minit di Youtube untuk ditonton Dalam filem Samson kita dapat melihat persamaan yang hampir sama dengan cerita oleh nabi saw namun banyak jalan cerita dan fakta yang tidak selari dengan kepercayaan orang Islam. 

Selasa, 5 Mei 2020

Paradise Corner

Musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) TMUnifi membuka semua saluran secara percuma, Beberapa hari lepas Hypp Tv sudah kembali ke asal, jadi saluran movie tidak lagi dapat diakses, Saluran Astro sudah tidak dilanggani lagi, bukan sahaja mahu menjimatkan perbelanjaan tapi bagi saya Astro tidak telus dalam menawarkan saluran. Rata ratanya caj yang dikenakan berbeza antara individu bergantung kepada perundingan dengan pihak dalaman malahan caj yang murah akan ditawarkan untuk pelanggan yang ingin menamatkan perkhidmatan bertujuan menghalang penamatan langganan, Bagi orang biasa yang tidak banyak karenah mereka tetap kena membayar khidmat yang saya kira sangat mahal.


Saluran Iflix, masih aktif tetapi sudah banyak rancangan yang telah pun saya tonton. Dan banyak juga saluran yang hanya sebagai iklan, tidak dapat ditonton.

Akhirnya saya memilih siri tv dari Russia iaitu Paradise Corner. mengisahkan seorang gadis dari Belarus yang mencari rakan yang dianggap sebagai adiknya. Vera ke perumahan Paradise Corner iaitu perumahan yang didiami oleh orang orang kaya dan super kaya. Vera bekerja sebagai pembantu rumah kepada seorang pedagang pemuas nafsu para hartawan.
Benda pertama yang membuat saya tertarik dengan siri tv ini adalah kerana lokasi penggambarannya adalah di suatu kawasan yang cantik, kediaman di dalam taman semula jadi, dengan hutan menghijau, bunga bungaan, senireka bangunan serta budaya masyarakat yang menjalani kehidupan secara berjalan kaki menyusuri lorong serta jalan jalan yang ditutupi rimbunan menghijau dan batang pokok pokok yang kukuh di sekitar kediaman.
Walaupun Paradise Corner seolah terkebelakang dalam kemasyarakatan namun ia sebuah rancangan tv yang memperlihatkan kemodenan yang diamalkan oleh pemilik pemilik mansion. 
Paradise Corner adalah berkisar kepada beberapa keluarga utama yang saling berkaitan antara penulis, keluarga bangsawan, Bapa ayam, keluarga ortodok, seorang doktor serta rangkaian perdagangan wanita yang menjadi penggerak kepada plot dalam siri tv ini. 
Paradise Corner musim pertama ini sebanyak 8 episod. Setiap episod berdurasi 50 minit 


Isnin, 23 Mac 2020

Covid 19 mengingatkan Dost Dost Na Raha

Lockdown selama 14 hari kepada rakyat Malaysia untuk menyekat rantaian virus Covid-19 adalah satu kejutan dan suasana baru bagi sebahagian besar rakyat yang selama ini hidup bebas dan aman damai. Namun bagi yang pernah merasai hidup terkawal, berdisiplin serta diawasi sepanjang masa keadaan seperti ini tidaklah terasa membebankan atau kejutan apalagi kepada orang yang pernah terlibat dengan suasana perang atau darurat.

Dalam keadaan hidup yang terhad ini akan ada yang mula kreatif serta mendapat kepandaian baru dalam diri mereka, mungkin ada yang sudah pandai memasak sendiri, mahir menguruskan rumah dan halaman, berjaya menghabiskan bacaan buku kesukaan, sudah mula tidak kekok menjadi iman solat atau makmun solat yang baik, mungkin juga lebih ramai yang semakin dekat dengan rakan- rakan di media maya serta berjaya menjejaki rakan rakan lama.

Bagi saya pula perintah kawalan pergerakan ini tidak begitu merubah rutin harian kerana kebanyakan masa saya sebelum ini pun banyak beraktiviti di kawasan rumah, menguruskan ternakan, mencuci kebun atau menyiapkan homestay yang sentiasa ada tetamu, sekatan ini hanya memberi kesan minima kepada saya,

Saya perasan ramai yang sudah kerap menaikkan status dalam sehari yang memperlihatkan betapa mereka sudah rasa bosan dan tertekan.. perasaan itu saya maklumi kerana saya juga pernah berada dalam tahanan suatu masa dulu dan saya turut akui betapa sewaktu kebebasan kita tersekat kita begitu menghargai setiap rakan atau gelagat yang boleh menggembirakan hati kita. Satu suasana yang sangat berbekas diingatan adalah kawan yang sekali dalam tahanan dulu sering menyanyikan lagu Dost Dost Na Raha dari filem Sanggam.. kami sangat terhibur dan perlahan lahan sama sama nyanyikan lagu yang dinyanyikan oleh Sunder itu. Ia cepat terlekat dalam ingatan, inilah lagu yang bagi saya amat sayu kalau dinyanyikan sewaktu hati berbelah bagi serta tidak tenteram.. ayuh dengarkan..





Selasa, 14 Januari 2020

Misteri Rumah Nina - Kisah seram Brunei

Sewaktu melihat lihat cerita di Youtube saya jumpa satu drama promo berjudul Misteri Rumah Nina terbitan tahun 1996 dari Brunei serta untuk tayangan di Tv Brunei . Saya cuba cari episod penuh tetapi tidak jumpa mungkin tidak diupload ke Youtube.

Terlibatnya saya dengan kerja suntingan drama ini adalah secara berkebetulan. Penyunting yang ditugaskan adalah Jamaluddin atau kami panggil Din Black. Oleh kerana Din Black mempunyai jadual sibuk saya dipelawa untuk menyunting, waktu itu saya baru saja diangkat sebagai penyunting, sebelumnya saya dalam team crew yang terlibat dengan kerja kerja di lokasi sebagai penata bunyi atau popular dengan soundman. 

Misteri Rumah Nina dibuat di Brunei, krew dan peralatan adalah dari syarikat Take One Production Sdn Bhd iaitu syarikat tempat kami bekerja. Din Black hampir tidak masuk campur kerja kerja penyuntingan yang diserah kepada saya, membuatkan saya turut melakukan banyak kerja untuk drama ini daripada Off- line, On- line hinggalah memasukkan efek dan muzik. Untuk efek muzik hantu saya memilih sendiri muziknya ada ketikanya rakan saya dan saya sendiri pun rasa meremang bila dipreview balik. Sebagai penyunting baru saya rasa berbangga bila akhirnya Din Black puas hati dengan kerja saya, Din Black memberi sentuhan akhir dengan memantau kualiti, membuat montaj dan memasukkan kredit tittle.


Misteri Rumah Nina sebenarnya sebuah kisah seram yang menarik, Ia mengisahkan seorang gadis yang dibunuh secara rahsia di sebuah rumah menyebabkan kelibat Nina sering menghantui orang yang mengkhianatinya. Jika anda ke Brunei cuba tanyakan tentang misteri Rumah Nina di Kilanas saya percaya cerita tersebut adalah rentetan daripada drama ini.

Drama ini begitu meletup bila ditayangkan, ada yang masih ingat jalan ceritanya walaupun menonton ketika zaman anak anak, ia menjadi bualan cerita mulut ke mulut dengan kisah yang sama dengan drama ini. sehingga kemudiannya muncul individu dan kumpulan paranormal yang menggeledah misteri rumah Nina. Cuma satu yang ketara dalam drama ini adalah solekan untuk hantu Nina seperti tidak berapa menjadi.

Khamis, 9 Januari 2020

Sultan Agung

Menonton filem terbaru Hanung Bramantyo berjudul Sultan Agung. Filem yang mengisahkan pemerintah ke 4 Kerajaan Mataram mengingatkan saya sekejap akan hasrat suatu masa dulu, menekuni genre filem yang saya gemar iaitu berkaitan sejarah dan tokoh tokoh hebat, saya lantas merasakan masih banyak epik epik serta hikayat besar bangsa yang belum diketengahkan melalui medium filem cereka. Saya pernah berhasrat untuk mejadikan sejarah kerajaan Chermin difilemkan, bila mana Thailand menerbitkan filem Langkasuka iaitu kesinambungan daripada Kerajaan Chermin saya sangat tertarik dan rasa kerugian apabila Kerajaan Melayu yang hebat itu dibuat dengan pandangan Bangkok. Saya juga berhasrat dapat menerbitkan filem lagenda Puteri Saadong dan Paduka Cik Siti Wan Kembang ke layar perak, kerana itulah saya menubuhkan syarikat Legend Picture Sdn Bhd dengan hasrat besar meneritkan kisah- sisah lagenda dan sejarah tetapi dana yang dijanjikan oleh individu dari negeri Sabah tidak menjadi realiti dan hasrat itu terus berlalu. Baru- baru ini Dato Mustapha Kamal memberitahu bahawa dia baru selesai menjalani penggambaran drama Puteri Saadong, syukurlah ada usaha mengangkat kisah dan tokoh hebat bangsa kita tetapi saya yakin ia tidak mampu menjadi setara atau sebagus filem Sultan Agung yang baru saya tonton ini.


Sultan Agung (1593 - 1645) dididik secara rahsia di luar istana dengan pemakaian nama Mas Rangsang. Sepanjang kehidupan di desa Mas Rangsang diajar ilmu bela diri dan keagamaan, Mas Rangsang menjalin hubungan cinta dengan Lembayung iaitu anak gadis kepala desa yang juga hebat dalam ilmu bela diri. Mas Rangsang dan Lembayung terpaksa mengorbankan hubungan mereka bila Mas Rangsang kembali ke istana menjadi raja selepas kemangkatan ayahndanya Penembahan Hanyakrawati. Mas Rangsang bukanlah putera mahkota tetapi kerana adiknya dari isteri pertama Panembahan Hanyakrawati yang mengidap sakit saraf bernama Adipati Martapura menaiki takhta untuk sehari sekadar memenuhi wasiat, akhirnya Mas Rangsang ditabal sebagai Raja Mataram dengan gelar Panembahan Hanyaprakusuma yang akhirnya digelar Sultan Agung atas kejayaannya meluaskan kekuasaan Kerajaan Mataram.


Sultan Agung meluaskan penaklukan ke seluruh Jawa kecuali Batavia yang diduduki oleh Syarikat VOC Belanda. Sultan Agung juga berjaya meluaskan penaklukan ke Sumatera dan Kalimantan. Dalam cubaan kerajaan Mataram menyerang Batavia banyak satria terkorban, ia juga memakan masa yang lama dan merugikan. Tetapi angkatan Mataram berjaya mencemari sungai Ciliwung yang menjadi sumber utama Batavia, akibat dicemari dengan mayat- mayat mangsa perang yang di letakkan dalam sungai wabak kolera berlaku di Batavia, wabak ini menyebabkan Gabenor Jeneral VOC, J.P. Coen menjadi korban. Selepas itu Sultan Agung menarik balik angkatannya dari Batavia. 

Sultan Agung tinggi dalam ilmuan Islam serta menjaga wasiat Sunan Kalijaga. Diakhir pemerintahan nya ia telah membuka sekolah untuk anak- anak jawa, membina kemudahan pertanian, mengembang kebudayaan serta mencipta Kalendar Islam Jawa, menjelang tahun 1645 Sultan Agung seakan tahu masa kematiannya telah dekat ia membina Astana Imogiri sebagai tempat pemakaman raja- raja Kesultanan Mataram.


Sultan Agung pernah menyatakan tindakannya menyerang Batavia adalah untuk menyelamatkan kerajaan dan bangsa Jawa untuk ratusan tahun mendatang ternyata benar, ia diiktiraf oleh VOC sebagai kerajaan berdiri sendiri sehingga terbentuknya Republik Indonesia, hari ini kerajaan Mataram masih lagi diwarisi oleh kesultanan Ngayogyakarta Hadiningrat di daerah istimewa Yogyakarta.  

Isnin, 7 Oktober 2019

Coffee Shop

Kedai kopi, selain sebagai tempat membasah tekak, lebih luas lagi kedai kopi adalah tempat pertemuan, perbincangan, perundingan serta juga menjadi tempat ikatan sesuatu perjanjian juga tempat lahirnya cinta dua jiwa. Kedai kopi memainkan peranan besar selepas tempat ibadat bagi sebuah komuniti.


Beberapa hari lepas, dalam chatting bersama grup whatsapp, rakan- rakan membicara tentang kedai kopi, saya turut tersenyum dan geli hati dangan tulisan rakan, jadi bila melihat senarai filem untuk tontonan malam kelmarin saya memilih judul Coffee Shop arahan Dave Alan Johnson.

Saya termasuk dalam salah seorang yang panas punggung jika berlama- lama di kedai kopi, saya tidak pandai memanfaatkan masa di kedai kopi sebagaimana kebanyakan orang, saya selalu perasan saya lah sentiasa menjadi orang yang lebih dahulu angkat kaki walaupun orang yang awal berada di kedai kopi masih belum habiskan secawan kopi mereka, tetapi bila menonton Coffee Shop mungkin saya kena lebih menghormati budaya dan tata cara mengunjungi kedai kopi.. menikmati kopi atau teh dengan santun serta cuba berkongsi rasa orang yang ada di kedai kopi.

Coffee Shop adalah kisah tentang wanita muda bernama Donovan Turner lakonan Laura Vandervoort yang dari kecilnya sudah diasuh oleh ibunya dengan kecekalan, mampu menangani setiap masalah yang dihadapi. Di usia 19 tahun Donovan memulakan kedai kopi di sebuah bangunan lama yang hampir dirobohkan, Donovan membina identiti dan suasana kedai kopi mengikut amalan kopi Ethiopia di Afrika yang mana biji kopi menjadi rasa yang pelbagai dan digemari. Donovan menjadikan kedai kopinya istimewa apabila bancuhan kopi mesin menjadi pelbagai rasa dari pahit, manis, krim sebagaimana dikehendaki pelanggan mengikut suasana dan perasaan yang dihadapi pelanggan inilah yang menjadikan kedai kopi Donovan sangat dekat dan digemari oleh masyarakat sekitar. Donovan juga menjalinkan hubungan yang baik dengan kejiranan dan masyarakat sekitarnya. Tetapi setelah kehadiran pengurus bank, Donovan menjadi risau apabila diugut dengan penyitaan jika gagal menyelesaikan pinjamannya, Donovan teringatkan sifat ibunya yang sentiasa menghadapi kesukaran dengan tenang..

Keistimewaan kedai kopi Donovan menarik minat penulis untuk menghasilkan skrip bagi pementasan teater di Broadway. Penulis bernama Ben telah mengunjungi dan berada di bandar kecil tepi laut ini kehadiran Ben juga menjadi dilema kepada Donovan yang sedang mencari orang dicintai dan boleh dipercayai. Donovan yang ditinggalkan pasangannya Patrik setahun yang lalu akan bertemu kembali dengan kekasihnya itu tetapi kali ini sudah berbeza walaupun Donovan masih berharap cinta mereka kembali terjalin namun Patrik sudah menjadi orang yang berjaya di Chicago serta mempunyai perancangan untuk menjual kedai kopi Donovan yang dianggapnya tidak lagi ekonomik dan seeloknya diruntuhkan bagi memberi laluan kepada pembinaan tapak parking kereta. Donovan tidak dapat menerima cadangan penutupan kedai kopinya. Dalam kerisauan itu Donovan mengadakan majlis amal di kedai kopinya, Donovan bermain piano dan menyanyikan sebuah lagu yang sangat terkesan kepada pengunjung, waktu itu Ben yang berada di situ turut menyatakan isi hatinya dan Donovan juga menyambut baik hasrat Ben, mereka bercinta. Ben menyiapkan tulisanya dan dibawa ke New York, tulisan yang menarik itu diterima dengan gembira oleh penerbit dan mendapat bayaran yang besar. Dengan hasil tulisan itu mereka menyelesaikan pinjaman bank yang dibuat oleh Donovan, kedai kopi dapat diselamatkan.


Itulah kisah dalam Coffee Shop walaupun filem ini tidak memberikan kejutan dalam plotnya tetapi ia ada keindahan dan romantik disamping menampilkan kepentingan hubungan sesama rakan dan masyarakat dalam menyelesaikan konflik, ia juga menguatkan kita tentang kepentingan nilai kemanusiaan yang sepatutnya lebih diambil berat berbanding keuntungan dan peluang dalam perniagaan.