Rabu, 30 Disember 2020

Rakan Warner Bros datang berkunjung


Selepas berjumpa dengan rakan yang tak jumpa lebih 20 tahun di Langkawi minggu lalu, hari ini seorang lagi rakan yang pernah kerja satu production datang ke rumah. Boe datang bersama keluarga sambil bercuti di Kelantan. Boe atau nama sebenarnya adalah Azhar Yatim adalah seorang jurukamera yang juga digelar Director Of Photoghraphy (DOP) Filem dan Tv yang pernah memenangi anugerah jurukamera terbaik kalau tak silap untuk Telefilem arahan Razak Mohaidin berjudul 'Semarai' .


Boe adalah ketua unit penggambaran kami, dia pernah melatih saya untuk menjadi seorang jurukamera profesional, tetapi saya menerima pelawaan menjadi editor, selepas itu kami tidak lagi bekerjasama kerana unit penggambaran adalah di lapangan dan editor pula kerja di studio, sehinggalah kami semua bekerja freelance dan membawa haluan masing masing. 


Beberapa tahun lalu saya mendapat berita dia sudah berhijrah ke Amerika dan bekerja di Hollywood kini katanya dia tidak lagi di Hollywood tetapi bekerja dibawah Warner Bros yang beroperasi di New Zealand .  Hari ini kami berbual panjang. Selepas makan saya bekalkan kelapa muda serta membawa anaknya yang nak melihat kambing. Isterinya Yunie Yunos yang juga  penerbit dan penyampai radio di JAKIM bertanya sama ada saya nak masuk semula ke dalam industri, saya berkata zaman dah tak sama macam dulu, saya sudah tak mampu mengejar teknologi, apabila diberitahu oleh Boe bahawa saya  tahu membuat skrip, dia seperti berminat untuk mendapatkan skrip radio dan berjanji akan berhubung lagi.

Saya pernah minta Boe hantar poskad untuk saya, sebenarnya saya juga mengumpul stem jadi saya cuma nak stem dari US. Mungkin dia ingat lagi permohonan saya itu jadi sebelum pulang Boe berikan stem magnet..


Selepas solat zohor berjemaah Boe meminta diri, InsyAllah ada rezeki jumpa lagi.


Jumaat, 11 Disember 2020

Terkenang Kak Wan

Rupanya sudah lebih 3 bulan Hjh Wan Chick Daud @ Othman meninggal dunia, hari ini terpanggil untuk mengenang Allahyarhamah bila menonton lakonannya sebagai Milah dalam filem Do Re Mi bersama P. Ramlee, A.R Badol dan Ibrahim Din. walaupun lakonan itu adalah pertama kali tetapi aksinya mencuit dan tidak mengecewakan, entah mengapa Wan Chick hanya berlakon dua filem sahaja dan yang terakhir adalah dalam filem Nasib Do Re Mi sebagai jururawat. Seperti yang selalu saya nyatakan bahawa hubungan dengan suaminyalah iaitu M. Rajoli yang secara tak langsung membuat saya turut mengenali Wan Chick Daud kerana waktu itu M. Rajoli seperti bapa kepada saya dan kami sangat rapat pada waktu itu.

Mengenali Wan Chick Daud yang sudah tidak lagi membaca berita. Adalah juga sesekali M. Rajoli bawa Kak Wan ke lokasi penggambaran dan diperkenalkan saya, Tidak banyak yang boleh saya ingat tentang Wan Dhick Daud yang sentiasa bertudung lawa.. cuma apa yang saya boleh pastikan adalah arwah seorang yang halus tutur katanya, bersifat keibuan serta bijaksana dalam melayan karenah suaminya yang sentiasa berdarah muda dan bersemangat.

Waktu Kak Wan terlantar saya tidak berkesempatan untuk melawat, tambahan pula mungkin Kak Wan tidak lagi mengenali kerana saya sudah lama mengundur diri daripada kerjaya yang memperkenalkan saya dengan anak anak wayang.. saya hanya mengirimkan doa dan sedekah Al Fatihah untuk Kak wan yang pernah berbuat baik kepada saya.

Khamis, 21 Mei 2020

Nabi Samson as dan Malam Lailatul Qadar

Pada 10 malam terakhir Ramadhan ini kita tentunya tidak asing lagi mendengar surah Al Qadar dibacakan ataupun kita sendiri akan berulang ulang membaca ayat tersebut di dalam solat sunat tarawih. Suatu masa Rasullulah saw ditanya oleh sahabat tentang sebab baginda tersenyum sendiri, lalu baginda saw berkata punca baginda tersenyum adalah bila diberitahu bahawa Nabi Sam'un Ghazi  masuk syurga seorang diri tanpa ada pengikut. Rasullulah menceritakan bahawa nabi Syam'un as sepanjang hidupnya berjuang dan berperang melawan orang kafir. nabi Syam'un as mempunyai kekuatan luar biasa yang tidak terkalah. Ia bertarung hanya menggunakan tulang rahang unta sahaja sebagai senjata Ini memberi ancaman dan iri hati raja Israel menyebabkan raja menawarkan hadiah dan harta yang banyak jika sesiapa dapat membuka rahsia kekuatan nabi Syam'un as. turut tergoda dengan tawaran itu termasuklah isteri nabi Syam'un sendiri, Isteri nabi Syam'un as membujuk nabi Syam'un as agar membuka rahsia kekuatannta, Nabi Syam'un as mengatakan kekuatan terletak pada rambutnya, pada suatu malam isteri nabi Syam'un as bernama Delilah mengikat kaki dan tangan nabi Syam'un as sewaktu baginda sedang tidur dengan menggunakan 4 helai rambut baginda sendiri. nabi Syam'un as kemudian berjaya ditangkap, dibutakan mata, dihiris mulunya serta diseksa di khalayak dan isterinya sendiri. nabi Syam'un as berdoa agar diberi kekuatannya semula, nabi Syam'un berjanji akan bertaubat dan menentang musuh Allah swt selama 1000 bulan lagi sebelum baginda meninggal dunia. Allah swt memperkenankan doa nabi Syam'un as, Istana dan kuil yang mengikat nabi Sham'un as dirobohkan oleh nabi Syam'un as, semua yang ada mati kerana ditimpa batu bata termasuk isterinya sendiri.


Pada akhir kisah oleh nabi saw para sahabat menangis dan bertanya apakah mereka boleh mendapat pahala sebagaimana yang diperolehi oleh nabi Syamun as.. tidak berapa lama selepas itu Jibril menurunkan surah Al Qadar :-

Bismillahirrahmanirrahim
1.Innaa anzalnahu fii lailatil qadr.
2.Wa maa adrooka maa lailatul qadr
3.Lailatul qadri khairummin alfi syahr.
4.tanazzalul malaa’ikatu warruuhu fiihaa bi iznirabbihim minkulli amr
5.saaalamun hiya hatta mathla’il fajr.
Maksudnya:
1.Sesungguhnya kami telah turunkannya (al Qur’an) pada malam al qadr.
2.Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?
3.Malam al qadr itu lebih baik daripada seribu bulan
4.Turun malaikat2 dan malaikat Jibril padanya(malam al qadr) dengan izin Tuhan mereka membawa segala urusan.
5.Selamat sejahteralah ia(malam al qadr) sehinggalah terbit fajar (Subuh).
Dunia barat memanggil nabi Sham'un as adalah Samson atau Simon sebagaimana banyak diceritakan dan difilemkan dengan judul Samson and Delilah atau Samson sahaja. namun filem yang dibuat ini adalah daripada kaca mata orang bukan Islam yang mungkin dikutip daripada kisah kisah Israiliat. 
Pada malam Ramadhan ke 28 ini kita memilih filem Samson berdurasi 1 jam 45minit di Youtube untuk ditonton Dalam filem Samson kita dapat melihat persamaan yang hampir sama dengan cerita oleh nabi saw namun banyak jalan cerita dan fakta yang tidak selari dengan kepercayaan orang Islam. 

Selasa, 5 Mei 2020

Paradise Corner

Musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) TMUnifi membuka semua saluran secara percuma, Beberapa hari lepas Hypp Tv sudah kembali ke asal, jadi saluran movie tidak lagi dapat diakses, Saluran Astro sudah tidak dilanggani lagi, bukan sahaja mahu menjimatkan perbelanjaan tapi bagi saya Astro tidak telus dalam menawarkan saluran. Rata ratanya caj yang dikenakan berbeza antara individu bergantung kepada perundingan dengan pihak dalaman malahan caj yang murah akan ditawarkan untuk pelanggan yang ingin menamatkan perkhidmatan bertujuan menghalang penamatan langganan, Bagi orang biasa yang tidak banyak karenah mereka tetap kena membayar khidmat yang saya kira sangat mahal.


Saluran Iflix, masih aktif tetapi sudah banyak rancangan yang telah pun saya tonton. Dan banyak juga saluran yang hanya sebagai iklan, tidak dapat ditonton.

Akhirnya saya memilih siri tv dari Russia iaitu Paradise Corner. mengisahkan seorang gadis dari Belarus yang mencari rakan yang dianggap sebagai adiknya. Vera ke perumahan Paradise Corner iaitu perumahan yang didiami oleh orang orang kaya dan super kaya. Vera bekerja sebagai pembantu rumah kepada seorang pedagang pemuas nafsu para hartawan.
Benda pertama yang membuat saya tertarik dengan siri tv ini adalah kerana lokasi penggambarannya adalah di suatu kawasan yang cantik, kediaman di dalam taman semula jadi, dengan hutan menghijau, bunga bungaan, senireka bangunan serta budaya masyarakat yang menjalani kehidupan secara berjalan kaki menyusuri lorong serta jalan jalan yang ditutupi rimbunan menghijau dan batang pokok pokok yang kukuh di sekitar kediaman.
Walaupun Paradise Corner seolah terkebelakang dalam kemasyarakatan namun ia sebuah rancangan tv yang memperlihatkan kemodenan yang diamalkan oleh pemilik pemilik mansion. 
Paradise Corner adalah berkisar kepada beberapa keluarga utama yang saling berkaitan antara penulis, keluarga bangsawan, Bapa ayam, keluarga ortodok, seorang doktor serta rangkaian perdagangan wanita yang menjadi penggerak kepada plot dalam siri tv ini. 
Paradise Corner musim pertama ini sebanyak 8 episod. Setiap episod berdurasi 50 minit 


Isnin, 23 Mac 2020

Covid 19 mengingatkan Dost Dost Na Raha

Lockdown selama 14 hari kepada rakyat Malaysia untuk menyekat rantaian virus Covid-19 adalah satu kejutan dan suasana baru bagi sebahagian besar rakyat yang selama ini hidup bebas dan aman damai. Namun bagi yang pernah merasai hidup terkawal, berdisiplin serta diawasi sepanjang masa keadaan seperti ini tidaklah terasa membebankan atau kejutan apalagi kepada orang yang pernah terlibat dengan suasana perang atau darurat.

Dalam keadaan hidup yang terhad ini akan ada yang mula kreatif serta mendapat kepandaian baru dalam diri mereka, mungkin ada yang sudah pandai memasak sendiri, mahir menguruskan rumah dan halaman, berjaya menghabiskan bacaan buku kesukaan, sudah mula tidak kekok menjadi iman solat atau makmun solat yang baik, mungkin juga lebih ramai yang semakin dekat dengan rakan- rakan di media maya serta berjaya menjejaki rakan rakan lama.

Bagi saya pula perintah kawalan pergerakan ini tidak begitu merubah rutin harian kerana kebanyakan masa saya sebelum ini pun banyak beraktiviti di kawasan rumah, menguruskan ternakan, mencuci kebun atau menyiapkan homestay yang sentiasa ada tetamu, sekatan ini hanya memberi kesan minima kepada saya,

Saya perasan ramai yang sudah kerap menaikkan status dalam sehari yang memperlihatkan betapa mereka sudah rasa bosan dan tertekan.. perasaan itu saya maklumi kerana saya juga pernah berada dalam tahanan suatu masa dulu dan saya turut akui betapa sewaktu kebebasan kita tersekat kita begitu menghargai setiap rakan atau gelagat yang boleh menggembirakan hati kita. Satu suasana yang sangat berbekas diingatan adalah kawan yang sekali dalam tahanan dulu sering menyanyikan lagu Dost Dost Na Raha dari filem Sanggam.. kami sangat terhibur dan perlahan lahan sama sama nyanyikan lagu yang dinyanyikan oleh Sunder itu. Ia cepat terlekat dalam ingatan, inilah lagu yang bagi saya amat sayu kalau dinyanyikan sewaktu hati berbelah bagi serta tidak tenteram.. ayuh dengarkan..





Selasa, 14 Januari 2020

Misteri Rumah Nina - Kisah seram Brunei

Sewaktu melihat lihat cerita di Youtube saya jumpa satu drama promo berjudul Misteri Rumah Nina terbitan tahun 1996 dari Brunei serta untuk tayangan di Tv Brunei . Saya cuba cari episod penuh tetapi tidak jumpa mungkin tidak diupload ke Youtube.

Terlibatnya saya dengan kerja suntingan drama ini adalah secara berkebetulan. Penyunting yang ditugaskan adalah Jamaluddin atau kami panggil Din Black. Oleh kerana Din Black mempunyai jadual sibuk saya dipelawa untuk menyunting, waktu itu saya baru saja diangkat sebagai penyunting, sebelumnya saya dalam team crew yang terlibat dengan kerja kerja di lokasi sebagai penata bunyi atau popular dengan soundman. 

Misteri Rumah Nina dibuat di Brunei, krew dan peralatan adalah dari syarikat Take One Production Sdn Bhd iaitu syarikat tempat kami bekerja. Din Black hampir tidak masuk campur kerja kerja penyuntingan yang diserah kepada saya, membuatkan saya turut melakukan banyak kerja untuk drama ini daripada Off- line, On- line hinggalah memasukkan efek dan muzik. Untuk efek muzik hantu saya memilih sendiri muziknya ada ketikanya rakan saya dan saya sendiri pun rasa meremang bila dipreview balik. Sebagai penyunting baru saya rasa berbangga bila akhirnya Din Black puas hati dengan kerja saya, Din Black memberi sentuhan akhir dengan memantau kualiti, membuat montaj dan memasukkan kredit tittle.


Misteri Rumah Nina sebenarnya sebuah kisah seram yang menarik, Ia mengisahkan seorang gadis yang dibunuh secara rahsia di sebuah rumah menyebabkan kelibat Nina sering menghantui orang yang mengkhianatinya. Jika anda ke Brunei cuba tanyakan tentang misteri Rumah Nina di Kilanas saya percaya cerita tersebut adalah rentetan daripada drama ini.

Drama ini begitu meletup bila ditayangkan, ada yang masih ingat jalan ceritanya walaupun menonton ketika zaman anak anak, ia menjadi bualan cerita mulut ke mulut dengan kisah yang sama dengan drama ini. sehingga kemudiannya muncul individu dan kumpulan paranormal yang menggeledah misteri rumah Nina. Cuma satu yang ketara dalam drama ini adalah solekan untuk hantu Nina seperti tidak berapa menjadi.

Khamis, 9 Januari 2020

Sultan Agung

Menonton filem terbaru Hanung Bramantyo berjudul Sultan Agung. Filem yang mengisahkan pemerintah ke 4 Kerajaan Mataram mengingatkan saya sekejap akan hasrat suatu masa dulu, menekuni genre filem yang saya gemar iaitu berkaitan sejarah dan tokoh tokoh hebat, saya lantas merasakan masih banyak epik epik serta hikayat besar bangsa yang belum diketengahkan melalui medium filem cereka. Saya pernah berhasrat untuk mejadikan sejarah kerajaan Chermin difilemkan, bila mana Thailand menerbitkan filem Langkasuka iaitu kesinambungan daripada Kerajaan Chermin saya sangat tertarik dan rasa kerugian apabila Kerajaan Melayu yang hebat itu dibuat dengan pandangan Bangkok. Saya juga berhasrat dapat menerbitkan filem lagenda Puteri Saadong dan Paduka Cik Siti Wan Kembang ke layar perak, kerana itulah saya menubuhkan syarikat Legend Picture Sdn Bhd dengan hasrat besar meneritkan kisah- sisah lagenda dan sejarah tetapi dana yang dijanjikan oleh individu dari negeri Sabah tidak menjadi realiti dan hasrat itu terus berlalu. Baru- baru ini Dato Mustapha Kamal memberitahu bahawa dia baru selesai menjalani penggambaran drama Puteri Saadong, syukurlah ada usaha mengangkat kisah dan tokoh hebat bangsa kita tetapi saya yakin ia tidak mampu menjadi setara atau sebagus filem Sultan Agung yang baru saya tonton ini.


Sultan Agung (1593 - 1645) dididik secara rahsia di luar istana dengan pemakaian nama Mas Rangsang. Sepanjang kehidupan di desa Mas Rangsang diajar ilmu bela diri dan keagamaan, Mas Rangsang menjalin hubungan cinta dengan Lembayung iaitu anak gadis kepala desa yang juga hebat dalam ilmu bela diri. Mas Rangsang dan Lembayung terpaksa mengorbankan hubungan mereka bila Mas Rangsang kembali ke istana menjadi raja selepas kemangkatan ayahndanya Penembahan Hanyakrawati. Mas Rangsang bukanlah putera mahkota tetapi kerana adiknya dari isteri pertama Panembahan Hanyakrawati yang mengidap sakit saraf bernama Adipati Martapura menaiki takhta untuk sehari sekadar memenuhi wasiat, akhirnya Mas Rangsang ditabal sebagai Raja Mataram dengan gelar Panembahan Hanyaprakusuma yang akhirnya digelar Sultan Agung atas kejayaannya meluaskan kekuasaan Kerajaan Mataram.


Sultan Agung meluaskan penaklukan ke seluruh Jawa kecuali Batavia yang diduduki oleh Syarikat VOC Belanda. Sultan Agung juga berjaya meluaskan penaklukan ke Sumatera dan Kalimantan. Dalam cubaan kerajaan Mataram menyerang Batavia banyak satria terkorban, ia juga memakan masa yang lama dan merugikan. Tetapi angkatan Mataram berjaya mencemari sungai Ciliwung yang menjadi sumber utama Batavia, akibat dicemari dengan mayat- mayat mangsa perang yang di letakkan dalam sungai wabak kolera berlaku di Batavia, wabak ini menyebabkan Gabenor Jeneral VOC, J.P. Coen menjadi korban. Selepas itu Sultan Agung menarik balik angkatannya dari Batavia. 

Sultan Agung tinggi dalam ilmuan Islam serta menjaga wasiat Sunan Kalijaga. Diakhir pemerintahan nya ia telah membuka sekolah untuk anak- anak jawa, membina kemudahan pertanian, mengembang kebudayaan serta mencipta Kalendar Islam Jawa, menjelang tahun 1645 Sultan Agung seakan tahu masa kematiannya telah dekat ia membina Astana Imogiri sebagai tempat pemakaman raja- raja Kesultanan Mataram.


Sultan Agung pernah menyatakan tindakannya menyerang Batavia adalah untuk menyelamatkan kerajaan dan bangsa Jawa untuk ratusan tahun mendatang ternyata benar, ia diiktiraf oleh VOC sebagai kerajaan berdiri sendiri sehingga terbentuknya Republik Indonesia, hari ini kerajaan Mataram masih lagi diwarisi oleh kesultanan Ngayogyakarta Hadiningrat di daerah istimewa Yogyakarta.