Isnin, 1 Ogos 2016

Selepas 3 Dekad Take One Productions

Selepas penubuhannya 3 dekad yang lalu Syarikat penerbitan Filem dan Produk rancangan Televisyen Take one Production (TOP) diraikan oleh bekas- bekas pekerja mereka yang terdiri daripada staf pejabat, krew, Jurukamera, editor, malahan diraikan oleh mereka yang pernah berada dan mendapat didikan serta khidmat di TOP seperti Pengarah, Pelakon, Penerbit juga Pegawai dari Stesen Penyiaran Media Prima.
Usaha dan Idea pertemuan ini lahir dari beberapa orang bekas pekerja yang ingin membuat satu majlis pertemuan bekas - bekas pekerja TOP yang mana sekiranya diambil kira keseluruhan 30 tahun beroperasi ada yang berani mengatakan mereka yang pernah menerima sentuhan TOP mungkin mencecah ribuan orang tetapi yang dapat dihubungi lebih 100 orang dan yang hadir ke majlis lebih 50 orang dari serata tanah air.

Program bermula dengan jamuan dan ucapan oleh pemilik TOP iaitu Tn Hj Shariff bin Hj Sabari yang kini boleh dilihat sudah mula memperlahankan aktiviti penggambaran dan memilih aktif bersama Jemaah Tabligh ke seluruh dunia.
Pertemuan yang diadakan di belakang pejabat TOP di Taman Melawati, Ulu kelang, Selangor terganggu sedikit kerana hujan lebat dan berangin selepas ucapan oleh Tn Hj Shariff bagaimanapun satu pujian harus diberikan kepada semua apabila semua hadirin tidak meninggalkan majlis walaupun ada yang basah kuyup.
Majlis diteruskan dengan pemberian cenderahati kepada mereka yang banyak memberi khidmat dan menaikkan nama Top satu masa dulu seperti Director Johari Yusof yang seingat saya adalah pengarah pertama yang saya bekerja selepas diterima bekerja sebagai Krew, beliaulah yang membuka mata saya kepada budaya bekerja sebagai anak wayang, dengan sikapnya yang panas baran, maki hamun bukan sahaja tidak digemari oleh kebanyakan pekerja dan pelakon tetapi juga pihak penerbit yang mungkin berhadapan dengan sikapnya yang sering menjadikan peralatan penggambaran sebagai mangsa sekiranya kualiti dan kehendak terbaiknya terganggu, En Johari Yusof terkenal sebagai pengarah yang tinggi citarasa seni dan kreatifnya.

Plak penghargaan juga diberikan kepada En Zaaba yang pernah menghasilkan Iklan Lee Cooper dan pelbagai terbitan dalam Jabatan Komersial TOP sewaktu beroperasi di Brickfields, Kuala Lumpur.
Selain itu Plak penghargaan turut diberi kepada En wan Ismail yang pernah mengarah untuk drama- drama terbitan TOP, En Wan Ismail kini bersama stesen Astro yang bertanggungjawab kepada saluran Al- Hijrah.

TOP sebenarnya boleh diumpamakan sebuah akedemi latihan yang dibayar gaji kepada sesiapa yang bernaung bersamanya, bermula daripada tiada apa apa pengalaman mereka yang bercita- cita besar, rajin, kreatif dan semangat juang dalam bidang seni akan mencapai hasrat mereka dan TOP sudah melahirkan ramai pekerja Industri yang berjaya dan diiktiraf pencapaian mereka ada dikalangan mereka sudah menjadi Jurukamera terbaik, editor terbaik, artis tersohor juga lain lain cabang karya dalam filem, drama dan produk penyiaran.
TOP adalah sebuah syarikat penerbit bumiputera yang besar jasanya kini berhadapan dengan kesukaran dalam Industri, tiada lagi unit- unit penggambaran yang lengkap, bilik- bilik editorial dan alihsuara yang aktif, van dan krew yang betebaran ke seluruh negara tidak lagi dilihat, kini studio mereka sudah begitu kecil bagaikan hanya satu tanda bahawa Syarikat masih ada. Bekas- bekas pekerja mereka sangat berharap jenama TOP yang begitu megah satu ketika dulu dapat dikembalikan ke landasan sebagai satu syarikat terbitan yang berjaya, sokongan semua pihak terutama stesen Penyiaran adalah diharapkan. Inilah semangat dan kesungguhan bekas pekerja yang mahu lihat kejayaan bekas majikan mereka. Tahniah dan Syabas kepada semua semoga harapan akan menjadi nyata. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan