Filem Melayu pertama yang dihasilkan adalah berjudul Laila Majnum. Laila Majnum yang dibuat penggambaran sepenuhnya di Singapura mengisahkan percintaan mendalam antara dua kekasih yang perhubungan mereka dihalang oleh kedua- dua keluarga. Kisah asyik ini diperturunkan dari hikayat Arab lebih dari 1000 tahun dulu. Dalam penggambaran Laila Majnum, pengarah BS Rajhans dari India sedaya upaya ingin mengekalkan keaslian ceritanya sebagaimana ia amat popular di pentas- pentas bangsawan dengan mengekalkan lagu dan tarian padang pasir, juga menggunakan dialog bahasa Melayu Tinggi. Walaupun menghadapi kesukaran penghayatan oleh pelakon yang terpaksa menghafal skrip dan penyebutan yang betul Filem Laina Majnum yang siap pada 1933 mendapat sambutan yang amat menggalakan, tiket habis dijual selama seminggu di Singapura dan ditayangkan pula ke semenanjung yang juga mendapat sambutan yang amat baik dalam siri tayangan selama dua minggu. Antara pelakon yang membintangi filem ini adalah ; Pak Suki, Cik Tijah, Yem ,Sharif Medan, Fatimah Jasmin, Syed Ali Mansoor Al Attas dan Khairuddin.
Filem Melayu yang diterbitkan oleh Syarikat Motilal Chemical dari Bombay ini adalah produk yang amat berharga tetapi sayangnya hari ini salinan filem Laila Majnum tidak ada dalam simpanan mana- mana pihak di negara ini dan mungkin filem asalnya juga sudah tidak wujud lagi. Apa yang boleh kita bandingkan adalah hanya Laila Majnum yang lebih moden yang diterbitkan oleh Malay Film dan Cathay Keris pada 1961.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan