Semalam isteri saya tegur bila dia lihat saya menonton filem Melayu, dia heran kerana selama ini dia hanya nampak saya menonton filem antarabangsa dan tidak menonton filem Melayu. Saya tak beri jawapan sebab memang benar saya sangat jarang menonton filem Melayu walaupun saya bekas karyawan filem dan drama Melayu, saya tidak berpuas hati dan nampak kelemahan pada filem Melayu sejak itu saya tidak tertarik walaupun sebenarnya banyak juga filem dan drama Melayu yang baik.
Masa isteri saya tegur saya sedang menonton filem Melayu arahan Anwardi Jamil, anak kepada pengarah filem dan Karyawan yang saya hormati iaitu Allahyarham Jamil Sulong. Saya tidak berpeluang bekerja dengan Jamil Sulong tetapi saya pernah beberapa kali berhubung dan bercakap dengan isterinya Rosnani Jamil dalam urusan dengan syarikat perfilemannya iaitu RJ Filem. Ibu Anwardi Jamil seorang yang sangat sopan santun dan lemah lembut budi bahasanya dia juga berbahasa Kelantan dengan saya.
Showtime 1958 adalah kisah benar tentang penglibatan Allahyarham seniman P. Ramlee dengan satu persembahan besar di buat di Singapura tahun 1958. Persembahan yang juga diilhamkan oleh P. Ramlee yang ketika itu di panggil Remy adalah untuk mendapatkan kewangan bagi membantu pekerja pekerja MFP di jalan Ampas yang diberhentikan kerja oleh majikan mereka, dalam proses melakukan persembahan ini banyak kebetulan berlaku antaranya penyanyi David yang asalnya pekerja studio akhirnya terpaksa menggantikan penyanyi asal yang tidak hadir malam persembahan hasilnya David mendapat perhatian pengurus kelab malam untuk menjadi penyanyi di Kuala Lumpur. Kemenangan ratu kebaya juga sangat dramatik yang mana seorang remaja anak yatim tersesat ke belakang pentas yang disangka oleh penganjur sebagai peserta akhirnya dia memenangi pertandingan ratu kebaya pada malam itu. Pada malam itu juga pelawak Hamid meninggal dunia dibelakang pentas.
1958 adalah tahun Malaya baru saja memperolehi kemerdekaan, ramai orang Melayu di Singapura berhijrah ke kuala Lumpur, orang Melayu termasuk P.Ramlee dan rakan rakan sudah merasai bahawa orang Melayu di Singapura sudah mula ditinggalkan oleh kemodenan Singapura serta unsur ketidakadilan sangat dirasai hingga ada cadangan untuk meminta bantuan Tunku Abdul rahman bagi campurtangan dalam masalah pekerja filem di Jalan Ampas. Orang yang lantang berpolitik dalam kalangan seniman adalah Jeffry Zain dan P.Ramlee mengatakan Jeffry Zain lebih mahir berpolitik daripada menyanyi.
Pada malam itu juga P. Ramlee menggubah lagu Hari Raya... yang sehingga kini masih segar lirik dihasilkan secara segera oleh jamil Sulong yang dianggap oleh P.Ramlee seorang yang bijak. Menurut kata Rosnani Jamil atau mesra dengan Mak Ani "...Ramlee panggil arwah abang (Jamil) dan tanya nak buat lagu apa, mereka pun pergi dalam masa sepuluh minit sebelum kembali dengan lagu Selamat Hari Raya"
kemerosotan studio Jalan Ampas menyebabkan ramai yang berhijrah ke Cathay Keris dan pada tahun 1967 Studio Jalan Ampas akhirnya ditutup.