Selasa, 14 Januari 2020

Misteri Rumah Nina - Kisah seram Brunei

Sewaktu melihat lihat cerita di Youtube saya jumpa satu drama promo berjudul Misteri Rumah Nina terbitan tahun 1996 dari Brunei serta untuk tayangan di Tv Brunei . Saya cuba cari episod penuh tetapi tidak jumpa mungkin tidak diupload ke Youtube.

Terlibatnya saya dengan kerja suntingan drama ini adalah secara berkebetulan. Penyunting yang ditugaskan adalah Jamaluddin atau kami panggil Din Black. Oleh kerana Din Black mempunyai jadual sibuk saya dipelawa untuk menyunting, waktu itu saya baru saja diangkat sebagai penyunting, sebelumnya saya dalam team crew yang terlibat dengan kerja kerja di lokasi sebagai penata bunyi atau popular dengan soundman. 

Misteri Rumah Nina dibuat di Brunei, krew dan peralatan adalah dari syarikat Take One Production Sdn Bhd iaitu syarikat tempat kami bekerja. Din Black hampir tidak masuk campur kerja kerja penyuntingan yang diserah kepada saya, membuatkan saya turut melakukan banyak kerja untuk drama ini daripada Off- line, On- line hinggalah memasukkan efek dan muzik. Untuk efek muzik hantu saya memilih sendiri muziknya ada ketikanya rakan saya dan saya sendiri pun rasa meremang bila dipreview balik. Sebagai penyunting baru saya rasa berbangga bila akhirnya Din Black puas hati dengan kerja saya, Din Black memberi sentuhan akhir dengan memantau kualiti, membuat montaj dan memasukkan kredit tittle.


Misteri Rumah Nina sebenarnya sebuah kisah seram yang menarik, Ia mengisahkan seorang gadis yang dibunuh secara rahsia di sebuah rumah menyebabkan kelibat Nina sering menghantui orang yang mengkhianatinya. Jika anda ke Brunei cuba tanyakan tentang misteri Rumah Nina di Kilanas saya percaya cerita tersebut adalah rentetan daripada drama ini.

Drama ini begitu meletup bila ditayangkan, ada yang masih ingat jalan ceritanya walaupun menonton ketika zaman anak anak, ia menjadi bualan cerita mulut ke mulut dengan kisah yang sama dengan drama ini. sehingga kemudiannya muncul individu dan kumpulan paranormal yang menggeledah misteri rumah Nina. Cuma satu yang ketara dalam drama ini adalah solekan untuk hantu Nina seperti tidak berapa menjadi.

Khamis, 9 Januari 2020

Sultan Agung

Menonton filem terbaru Hanung Bramantyo berjudul Sultan Agung. Filem yang mengisahkan pemerintah ke 4 Kerajaan Mataram mengingatkan saya sekejap akan hasrat suatu masa dulu, menekuni genre filem yang saya gemar iaitu berkaitan sejarah dan tokoh tokoh hebat, saya lantas merasakan masih banyak epik epik serta hikayat besar bangsa yang belum diketengahkan melalui medium filem cereka. Saya pernah berhasrat untuk mejadikan sejarah kerajaan Chermin difilemkan, bila mana Thailand menerbitkan filem Langkasuka iaitu kesinambungan daripada Kerajaan Chermin saya sangat tertarik dan rasa kerugian apabila Kerajaan Melayu yang hebat itu dibuat dengan pandangan Bangkok. Saya juga berhasrat dapat menerbitkan filem lagenda Puteri Saadong dan Paduka Cik Siti Wan Kembang ke layar perak, kerana itulah saya menubuhkan syarikat Legend Picture Sdn Bhd dengan hasrat besar meneritkan kisah- sisah lagenda dan sejarah tetapi dana yang dijanjikan oleh individu dari negeri Sabah tidak menjadi realiti dan hasrat itu terus berlalu. Baru- baru ini Dato Mustapha Kamal memberitahu bahawa dia baru selesai menjalani penggambaran drama Puteri Saadong, syukurlah ada usaha mengangkat kisah dan tokoh hebat bangsa kita tetapi saya yakin ia tidak mampu menjadi setara atau sebagus filem Sultan Agung yang baru saya tonton ini.


Sultan Agung (1593 - 1645) dididik secara rahsia di luar istana dengan pemakaian nama Mas Rangsang. Sepanjang kehidupan di desa Mas Rangsang diajar ilmu bela diri dan keagamaan, Mas Rangsang menjalin hubungan cinta dengan Lembayung iaitu anak gadis kepala desa yang juga hebat dalam ilmu bela diri. Mas Rangsang dan Lembayung terpaksa mengorbankan hubungan mereka bila Mas Rangsang kembali ke istana menjadi raja selepas kemangkatan ayahndanya Penembahan Hanyakrawati. Mas Rangsang bukanlah putera mahkota tetapi kerana adiknya dari isteri pertama Panembahan Hanyakrawati yang mengidap sakit saraf bernama Adipati Martapura menaiki takhta untuk sehari sekadar memenuhi wasiat, akhirnya Mas Rangsang ditabal sebagai Raja Mataram dengan gelar Panembahan Hanyaprakusuma yang akhirnya digelar Sultan Agung atas kejayaannya meluaskan kekuasaan Kerajaan Mataram.


Sultan Agung meluaskan penaklukan ke seluruh Jawa kecuali Batavia yang diduduki oleh Syarikat VOC Belanda. Sultan Agung juga berjaya meluaskan penaklukan ke Sumatera dan Kalimantan. Dalam cubaan kerajaan Mataram menyerang Batavia banyak satria terkorban, ia juga memakan masa yang lama dan merugikan. Tetapi angkatan Mataram berjaya mencemari sungai Ciliwung yang menjadi sumber utama Batavia, akibat dicemari dengan mayat- mayat mangsa perang yang di letakkan dalam sungai wabak kolera berlaku di Batavia, wabak ini menyebabkan Gabenor Jeneral VOC, J.P. Coen menjadi korban. Selepas itu Sultan Agung menarik balik angkatannya dari Batavia. 

Sultan Agung tinggi dalam ilmuan Islam serta menjaga wasiat Sunan Kalijaga. Diakhir pemerintahan nya ia telah membuka sekolah untuk anak- anak jawa, membina kemudahan pertanian, mengembang kebudayaan serta mencipta Kalendar Islam Jawa, menjelang tahun 1645 Sultan Agung seakan tahu masa kematiannya telah dekat ia membina Astana Imogiri sebagai tempat pemakaman raja- raja Kesultanan Mataram.


Sultan Agung pernah menyatakan tindakannya menyerang Batavia adalah untuk menyelamatkan kerajaan dan bangsa Jawa untuk ratusan tahun mendatang ternyata benar, ia diiktiraf oleh VOC sebagai kerajaan berdiri sendiri sehingga terbentuknya Republik Indonesia, hari ini kerajaan Mataram masih lagi diwarisi oleh kesultanan Ngayogyakarta Hadiningrat di daerah istimewa Yogyakarta.