Isnin, 7 Oktober 2019

Coffee Shop

Kedai kopi, selain sebagai tempat membasah tekak, lebih luas lagi kedai kopi adalah tempat pertemuan, perbincangan, perundingan serta juga menjadi tempat ikatan sesuatu perjanjian juga tempat lahirnya cinta dua jiwa. Kedai kopi memainkan peranan besar selepas tempat ibadat bagi sebuah komuniti.


Beberapa hari lepas, dalam chatting bersama grup whatsapp, rakan- rakan membicara tentang kedai kopi, saya turut tersenyum dan geli hati dangan tulisan rakan, jadi bila melihat senarai filem untuk tontonan malam kelmarin saya memilih judul Coffee Shop arahan Dave Alan Johnson.

Saya termasuk dalam salah seorang yang panas punggung jika berlama- lama di kedai kopi, saya tidak pandai memanfaatkan masa di kedai kopi sebagaimana kebanyakan orang, saya selalu perasan saya lah sentiasa menjadi orang yang lebih dahulu angkat kaki walaupun orang yang awal berada di kedai kopi masih belum habiskan secawan kopi mereka, tetapi bila menonton Coffee Shop mungkin saya kena lebih menghormati budaya dan tata cara mengunjungi kedai kopi.. menikmati kopi atau teh dengan santun serta cuba berkongsi rasa orang yang ada di kedai kopi.

Coffee Shop adalah kisah tentang wanita muda bernama Donovan Turner lakonan Laura Vandervoort yang dari kecilnya sudah diasuh oleh ibunya dengan kecekalan, mampu menangani setiap masalah yang dihadapi. Di usia 19 tahun Donovan memulakan kedai kopi di sebuah bangunan lama yang hampir dirobohkan, Donovan membina identiti dan suasana kedai kopi mengikut amalan kopi Ethiopia di Afrika yang mana biji kopi menjadi rasa yang pelbagai dan digemari. Donovan menjadikan kedai kopinya istimewa apabila bancuhan kopi mesin menjadi pelbagai rasa dari pahit, manis, krim sebagaimana dikehendaki pelanggan mengikut suasana dan perasaan yang dihadapi pelanggan inilah yang menjadikan kedai kopi Donovan sangat dekat dan digemari oleh masyarakat sekitar. Donovan juga menjalinkan hubungan yang baik dengan kejiranan dan masyarakat sekitarnya. Tetapi setelah kehadiran pengurus bank, Donovan menjadi risau apabila diugut dengan penyitaan jika gagal menyelesaikan pinjamannya, Donovan teringatkan sifat ibunya yang sentiasa menghadapi kesukaran dengan tenang..

Keistimewaan kedai kopi Donovan menarik minat penulis untuk menghasilkan skrip bagi pementasan teater di Broadway. Penulis bernama Ben telah mengunjungi dan berada di bandar kecil tepi laut ini kehadiran Ben juga menjadi dilema kepada Donovan yang sedang mencari orang dicintai dan boleh dipercayai. Donovan yang ditinggalkan pasangannya Patrik setahun yang lalu akan bertemu kembali dengan kekasihnya itu tetapi kali ini sudah berbeza walaupun Donovan masih berharap cinta mereka kembali terjalin namun Patrik sudah menjadi orang yang berjaya di Chicago serta mempunyai perancangan untuk menjual kedai kopi Donovan yang dianggapnya tidak lagi ekonomik dan seeloknya diruntuhkan bagi memberi laluan kepada pembinaan tapak parking kereta. Donovan tidak dapat menerima cadangan penutupan kedai kopinya. Dalam kerisauan itu Donovan mengadakan majlis amal di kedai kopinya, Donovan bermain piano dan menyanyikan sebuah lagu yang sangat terkesan kepada pengunjung, waktu itu Ben yang berada di situ turut menyatakan isi hatinya dan Donovan juga menyambut baik hasrat Ben, mereka bercinta. Ben menyiapkan tulisanya dan dibawa ke New York, tulisan yang menarik itu diterima dengan gembira oleh penerbit dan mendapat bayaran yang besar. Dengan hasil tulisan itu mereka menyelesaikan pinjaman bank yang dibuat oleh Donovan, kedai kopi dapat diselamatkan.


Itulah kisah dalam Coffee Shop walaupun filem ini tidak memberikan kejutan dalam plotnya tetapi ia ada keindahan dan romantik disamping menampilkan kepentingan hubungan sesama rakan dan masyarakat dalam menyelesaikan konflik, ia juga menguatkan kita tentang kepentingan nilai kemanusiaan yang sepatutnya lebih diambil berat berbanding keuntungan dan peluang dalam perniagaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan